Feri Sri Tanjong 1 dijangka beroperasi sebelum Aidilfitri

Bernama
Mac 11, 2025 17:21 MYT
Nik Soh Yaacoub (kiri) membuat lawatan menaiki feri baharu Sri Tanjong 1 selepas majlis penyerahan di Jeti JKR Pengkalan Kubor hari ini. -Bernama
TUMPAT: Feri Sri Tanjong 1 yang menghubungkan Pengkalan Kubor ke Takbai, Thailand dijangka mula beroperasi sebelum Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi setelah memperoleh Sijil Penumpang daripada Jabatan Laut Malaysia.

Ringkasan AI
  • Feri Sri Tanjong 1 akan mula beroperasi sebelum Hari Raya Aidilfitri setelah memperoleh Sijil Penumpang daripada Jabatan Laut Malaysia.
  • Feri ini mampu menampung 58 penumpang dan beberapa kenderaan, menggantikan feri lama yang sering rosak.
  • Feri ini dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan Malaysia-Thailand dan manfaat besar kepada penduduk Kelantan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Nik Soh Yaacoub berkata feri jenis Roll On Roll Off (RoRo) bernilai hampir RM8 juta itu tiba di jeti JKR Pengkalan Kubor pada 4 Mac lepas bagi menggantikan feri sedia ada yang sering mengalami kerosakan setelah beroperasi lebih 37 tahun.
"Kami menjangkakan feri ini boleh memulakan operasi sebelum 1 Syawal. Feri ini mampu menampung 58 penumpang dan lapan hingga 10 kenderaan ringan atau sebuah bas dengan kapasiti 44 penumpang atau empat lori lima tan atau dua lori 10 tan.
"Feri Sri Tanjong 1 dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan Malaysia-Thailand serta manfaat besar kepada penduduk khususnya di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan feri berkenaan kepada JKR Feri Pengkalan Kubor, di sini hari ini.
Nik Soh berkata jadual perkhidmatan feri akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada orang ramai bagi memudahkan urusan perjalanan antara Malaysia dan Thailand.
-- BERNAMA
#Feri Sri Tanjong 1 #Sijil Penumpang #malaysia-thailand #Pengkalan Kubor ke Takbai
;