Feri penumpang ke Langkawi kembali operasi Jumaat ini
Sinar Harian
Jun 16, 2021 07:26 MYT
Jun 16, 2021 07:26 MYT
LANGKAWI: Perkhidmatan feri penumpang ke Langkawi yang terhenti perkhidmatannya sejak sekatan pergerakan penuh dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuat kuasakan pada 1 Jun lalu kembali beroperasi Jumaat ini.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, perjalanan feri penumpang itu meliputi laluan dua hala iaitu dari Terminal Feri Penumpang Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Kedah ke Langkawi.
Menurut Baharin, pihaknya membuat keputusan itu setelah mengambil kira rungutan penumpang yang berulang-alik dari tanah besar ke Langkawi untuk bertugas.
“Atas rasa tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak konsortium membuka semula operasi dengan dua jadual perjalanan iaitu jam12 tengah hari dari Langkawi ke Kuala Kedah, sementara, perjalanan dari Kuala Kedah Ke Langkawi pada jam 2.30 petang,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Rabu.
Baharin berkata, bagaimanapun sebarang perubahan jadual perjalanan bergantung kepada pasang surut air.
“Konsortium sedar membuka semula perkhidmatan feri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa di seluruh negara akan memberi impak negatif kepada kewangan syarikat, malah mendedahkan pulau legenda itu kepada penyebaran Covid-19.
"Namun kami akan pastikan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dipatuhi penumpang dan pengurusan,” katanya.
Menurutnya, kapasiti penumpang bagi setiap feri juga dikurangkan kepada 50 peratus.
“Konsortium mohon kerjasama semua agensi untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada semua penumpang ketika berada di terminal pelepasan mahupun ketibaan,” katanya.
Sebelum ini, Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah ditutup dan tiada perkhidmatan feri bagi laluan Kuala Kedah-Langkawi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Kota Setar dari 19 Mei hingga 1 Jun.
Penutupan terminal itu selaras dengan larangan semua jenis pergerakan keluar dan masuk ke kawasan PKPD.
Artikel asal di Sinar Harian: Feri penumpang ke Langkawi kembali operasi Jumaat ini
#feri langkawi
#Konsortium Ferry Line Ventures
#Baharin Baharom
#PKP
#sekatan pergerakan penuh
#COVID-19
#PKPD
#Langkawi
#MKN