Feri penumpang dalam pembaikan terbakar

Adie Sufian Zulkefli
November 11, 2022 23:31 MYT
Sebuah feri yang sedang dalam penyelenggaraan enjin di limbungan pembaikan kapal di Bukit Malut, terbakar pada petang Jumaat. - Foto ihsan JBPM
LANGKAWI: Sebuah feri yang sedang dalam penyelenggaraan enjin di limbungan pembaikan kapal di Bukit Malut di sini, terbakar pada petang Jumaat.
Menurut Pengarah Bomba Negeri Kedah, Sayani Saidon, kejadian berlaku jam jam 4.50 petang dan ketika itu terdapat beberapa orang pekerja sedang melakukan kerja pembaikan di bahagian enjin feri sempat lari keluar menyelamatkan diri.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5 petang dan seramai 20 anggota dan pegawai bersama empat jentera dari Balai Bomba Penyelamat Persiaran Putra dan Langkawi dikejarkan ke lokasi.
"Sebaik tiba, api sedang marak membakar bilik enjin feri yang berada di tanjakan (RAM).
“Anggota terpaksa memadam kebakaran dengan menggunakan 12 tong ‘foam’ selain menggunakan lapan aliran pancutan air.
“Api berjaya dikawal pada jam 6.46 petang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, malam ini.
Sayani berkata, tiada kemalangan jiwa dan punca kejadian masih dalam siasatan pihaknya.
Katanya, ini kejadian kedua melibatkan feri penumpang terbakar di mana kejadian sebelum ini berlaku pada 2019.
#feri terbakar #feri dalam pembaikan #Bukit Malut #Langkawi
;