Feri Langkawi tersangkut: Suasana panik tercetus kerana suhu dalam feri panas - Mangsa

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 23, 2022 22:52 MYT
Suasana panik di dalam feri tercetus apabila keadaan di dalam feri tersebut panas susulan penghawa dingin tidak berfungsi. - Astro AWANI
KUALA KEDAH: Suasana panik di dalam feri tercetus apabila keadaan di dalam feri tersebut panas susulan penghawa dingin tidak berfungsi, menyebabkan ada di antara penumpang yang mengalami sesak nafas dan pengsan.
Demikian situasi yang berlaku dalam kejadian sebuah feri penumpang yang terkandas di Muara Kuala Kedah akibat air surut pada jam 4.15 petang Ahad.
Menurut mangsa, Farhanatul Alia Khairul Anuar, 26, ketika itu salah seorang kru kapal tampil dan memaklumkan supaya semua penumpang agar memakai jaket keselamatan.
Dia yang mengandung anak sulung serta menemani ibunya ke Langkawi berkata, ketika itu suhu di dalam feri menjadi panas dan kedengaran suara kanak-kanak menangis dan warga emas mengalami sesak nafas.
"Panik sebab saya mengandung, rasa lagi panik lah tetapi mereka cakap (kru feri) tak ada-apa... alhamdulillah," katanya.
Seorang lagi mangsa, Siti Seri Shafinaz Ahmad, 25, berkata tidak lama selepas feri terkandas sebuah bot memancing berjaya menghampiri feri dan cuba membantu.
Katanya, dia yang ke Langkawi untuk bercuti bersama keluarga membawa bersama bayi berusia dua bulan bersyukur kerana bantuan daripada bot nelayan membantu memindahkan penumpang terutama golongan warga emas dan kanak-kanak ke jeti.
"Sampai ada bot balik daripada memancing, bot memancing itu lah yang tolong bawa mangsa yang pengsan, warga emas dan bayi. Lepas tu yang bot kedua baru untuk budak-budak dan golongan ibu," jelasnya.
Sementara itu seorang lagi mangsa M Sharani, 33, yang ke Langkawi untuk bercuti bersama suami dan ibu mertua serta dua anaknya menaiki feri pada jam 1 petang.
Katanya, mereka merancang untuk pulang ke rumah di Kulim lebih awal kerana ingin membuat persiapan untuk menyambut perayaan Deepavali.
Dia bersyukur kerana mereka sekeluarga berjaya diselamatkan dengan menaiki bot nelayan.
Terdahulu, dalam laporan awal Astro AWANI seramai 547 orang penumpang dan kru feri dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah terkandas di Muara Kuala Kedah akibat air surut.
#feri Langkawi tersangkut #suasana panik #muara Kuala Kedah #feri penumpang terkandas
;