Feri Langkawi terbakar, 52 penumpang dan 6 kru berjaya diselamatkan

Astro Awani
Februari 25, 2019 17:37 MYT
Feri milik Dragon Star Shipping Sdn Bhd yang dalam perjalanan dari Jeti Kuah, Langkawi ke Jeti Kuala Perlis itu terbakar berhampiran Selat Kuah. -Astro AWANI
Kesemua 52 penumpang dan enam kru feri penumpang yang terbakar di perairan Langkawi petang tadi berjaya diselamatkan.
Feri milik Dragon Star Shipping Sdn Bhd yang dalam perjalanan dari Jeti Kuah, Langkawi ke Jeti Kuala Perlis itu terbakar berhampiran Selat Kuah, di sini.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah Dan Perlis, Feri Dragon Star 1 itu berlepas dari Jeti Kuah pada jam 2.30 petang sebelum panggilan kecemasan diterima jam 3 petang.
"Pusat Operasi Maritim Langkawi telah menerima panggilan kecemasan pada jam 3.00 petang.
"MRSC Langkawi selaku koordinator carilamat telah mengkoordinasikan pergerakan tiga buah bot dan dua buah jetski milik Maritim Malaysia serta dari TLDM 1 aset, Pasukan Polis Marin 2 aset dan Jabatan Laut Malaysia 2 aset dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia 1 aset."
Timbalan Pengarah Operasinya, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata kesemua mangsa diselamatkan oleh bot penumpang Pulau Tuba dan Bagan Selat yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Kesemua mangsa kemudian dihantar ke Jeti Kuah Langkawi.
Terdahulu, laporan awal Astro AWANI menyebut bahawa terdapat 30 penumpang yang terlibat dalam insiden ini.
BACA: Feri Langkawi bawa 30 penumpang terbakar
Kebakaran berjaya dipadamkan dan punca kejadian masih disiasat.
#dragon star shipping #feri Dragon Star 1 #feri penumpang #Langkawi #Pusat Operasi Maritim Langkawi #TLDM #Zulinda Ramly
;