Feri Kuala Kedah-Langkawi beroperasi semula esok
Adie Sufian Zulkefli
September 21, 2024 14:16 MYT
September 21, 2024 14:16 MYT
ALOR SETAR: Perkhidmatan feri ke Langkawi dari Kuala Kedah bakal beroperasi semula esok setelah beberapa hari dihentikan ekoran ribut serta hujan yang membawa angin kencang serta laut bergelora.
Ringkasan AI
- Perkhidmatan feri akan disambung semula esok setelah dihentikan beberapa hari akibat ribut dan laut bergelora.
- Terdapat sembilan perjalanan yang dirancang, lima dari Langkawi ke Kuala Kedah dan empat dari Kuala Kedah ke Langkawi.
- Operasi feri masih bergantung kepada keadaan cuaca dan angin di laut, dengan pemantauan berterusan dari pihak berkuasa dan nelayan.
Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, setakat ini pihaknya merancang untuk melaksanakan sembilan perjalanan keluar dan masuk ke Langkawi dari Terminal Penumpang Kuala Kedah.
"Kami merancang sebanyak lima perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah esok bermula pukul 10.30 pagi, 12 tengah hari, 1.30 petang, 3 petang, dan 4 petang.
"Manakala untuk perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi pula sebanyak empat perjalanan dijadualkan iaitu pada pukul 1.30 petang, 3 petang, 4.30 petang, dan 6 petang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Sabtu.
Kesemua perjalanan feri ke Langkawi dari Kuala Kedah mula dibatalkan sejak Selasa lalu berikutan keadaan laut bergelora serta angin kencang yang dikhuatiri membahayakan keselamatan penumpang.
Susulan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai angin kencang kelmarin, pihak berkuasa kemudiannya memutuskan untuk menutup Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah hingga hari ini dengan perjalanan ke Langkawi hanya boleh dilakukan dari Kuala Perlis.
Baharin menambah, penjualan tiket secara dalam talian kini berjalan seperti biasa dan kekal mendapat permintaan tinggi dari orang ramai.
"Namun keadaannya tidaklah seperti awal minggu lalu. Ketika ini cuti sekolah sudah hampir tamat dan sudah tentulah permintaan untuk masuk ke Langkawi juga menurun.
"Sepanjang penutupan Terminal Feri Kuala Kedah sebelum ini, ramai penumpang yang menukar laluan mereka ke Kuala Perlis.
"Jumlah mereka yang menuntut semula wang masing-masing pun ramai iaitu lebih 6,000 penumpang," katanya.
Mengulas mengenai perjalanan feri dijadualkan esok, Baharin berkata segalanya masih juga bergantung kepada keadaan cuaca dan angin di laut.
"Kita sentiasa peka dengan amaran dikeluarkan MetMalaysia serta lain-lain jangkaan yang dikeluarkan. Dalam masa sama, kami turut bekerjasama dengan nelayan mengenai situasi di laut.
"Dikhabarkan buat masa ini angin kencang tidak berlaku sepanjang masa sebaliknya hanya terjadi pada waktu-waktu tertentu saja. Insya Allah, kita harapkan segalanya berjalan lancar esok," katanya.