Feri baharu Pulau Pinang siap 40 peratus
Bernama
Oktober 8, 2022 20:51 MYT
Oktober 8, 2022 20:51 MYT
GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) hari ini memaklumkan feri baharu Pulau Pinang yang sedang rancak dibina secara serentak di dua limbungan di Vietnam kini sudah mencapai 40 peratus kemajuan pembinaan.
Pengerusinya, Datuk Tan Teik Cheng berkata komponen feri dan bentuk feri Pulau Pinang yang baharu itu telah mula kelihatan dan dijadualkan siap pada bulan Jun 2023.
Katanya, beliau mengetuai lawatan dua hari ke dua tapak pembinaan feri Pulau Pinang baharu di Vietnam bersama wakil Kementerian Pengangkutan serta Penang Port Sdn Bhd (PPSB).
"Objektif lawatan adalah bagi meninjau kemajuan projek pembinaan feri baharu itu dan mengadakan perbincangan bersama pihak pembekal serta PPSB berkaitan pembinaan dan jadual penghantaran feri tersebut ke Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tan berkata pelancaran feri untuk pengujian air dijadualkan pada bulan Mei tahun depan dan akan dihantar ke perairan Pulau Pinang pada penghujung bulan Jun 2023.
Beliau berkata SPPP akan membuat pemakluman dari semasa ke semasa mengenai perkembangan feri baharu Pulau Pinang dan maklumat lanjut berhubung konsep feri serta sebagainya pula akan dimaklumkan oleh PPSB kelak.
Katanya, SPPP juga percaya pengenalan feri Pulau Pinang yang baharu kelak akan memberi nafas baru kepada konsep reka bentuk feri dan berupaya memberikan perkhidmatan feri yang lebih baik kepada pengguna.
"PPSB sebelum ini telah memanggil satu tender terbuka bagi perolehan feri Pulau Pinang yang baharu itu dan sebanyak 36 syarikat telah memasuki tender tersebut dimana 23 pembida adalah syarikat tempatan dan 13 pembida adalah syarikat antarabangsa.
"Sembilan pembida telah disenarai pendek dan PPSB seterusnya telah melantik Damen Shipyards Gorinchem B.V. Netherlands sebagai pembida yang berjaya kerana dapat memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh PPSB. SPPP tidak terlibat langsung dalam urusan tender itu," katanya.
-- BERNAMA