Feri baharu Pulau Pinang mula operasi secara rasmi hari ini

Sinar Harian
Ogos 7, 2023 10:45 MYT
Kon Yeow (tiga dari kanan) membantu salah seorang penumpang feri ketika menyantuni trip pertama dari PRTU ke PSAH, pada pagi Isnin. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Feri baharu Pulau Pinang beroperasi secara rasmi pada Isnin dengan memulakan trip pertamanya pada jam 6.30 pagi dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) ke Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU), di sini.
Trip pertama itu dinaiki Ketua Menteri Caretaker, Chow Kon Yeow sekali gus merasmikan operasi pengangkutan awam itu.
Kon Yeow yang ditemani beberapa pemimpin negeri tiba di PRTU pada jam 6.45 pagi dan disambut oleh Pengerusi Penang Port Sdn Bhd (PPSB), Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza.
Kon Yeow berkata, perkhidmatan feri di Pulau Pinang merupakan perkhidmatan yang sangat penting khususnya kepada mereka yang menggunakan medium pengangkutan tersebut untuk berulang alik ke tempat kerja setiap hari.
Menurutnya, empat feri berwajah baru yang dinamakan sebagai Teluk Bahang, Teluk Kampi, Teluk Duyung dan Teluk Kumbar telah menggantikan feri ikonik yang sudah ditamatkan perkhidmatannya.
"Feri baru ini jauh lebih efisien dan selesa berbanding feri ikonik sebelum ini. Bagi permulaan, seperti yang diumumkan sebelum ini, tambang untuk sebulan pertama adalah percuma untuk semua penumpang bermula 7 Ogos hingga 6 September depan.
"PPSB akan menanggung kos tiket feri ini dan ia merupakan inisiatif SPPP dan PPSB sempena pengoperasian feri baru selain meringankan beban kewangan penumpang.
"Feri ini akan beroperasi setiap hari bermula jam 6.30 pagi di PSAH dan berakhir pada jam 9.30 malam di PRTU (di bahagian seberang) manakala di PRTU, feri akan bermula pada jam 7 pagi dan berakhir pada jam 10 malam," katanya pada sidang akhbar di PRTU di sini pada Isnin.
Tambah beliau, kerajaan Pulau Pinang telah mengadakan sesi libat urus dengan SPPP dan PPSB agar jadual feri yang disediakan mempunyai kesalinghubungan dengan perkhidmatan bas Rapid demi kemudahan rakyat Pulau Pinang.
"SPPP dan PPSB prihatin dengan kehendak dan keperluan rakyat Pulau Pinang khususnya yang menggunakan feri setiap hari telah menyediakan jadual feri dengan 68 trip (dua hala) sehari iaitu dengan kekerapan setiap 20 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu bukan puncak.
"Jadual ini juga adalah untuk hari bekerja dan pada hujung minggu atau cuti umum. Trip akhir feri juga telah dilanjut dari jam 8.30 malam semasa tempoh peralihan kepada jam 10 malam," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, Datuk V Sasedharan berkata, pihaknya sedang mengkaji kadar tambang feri baharu itu dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.
"Menerusi 68 trip yang disediakan, kita mensasarkan 100,000 pengunjung untuk satu hala dalam sebulan, menjadikan 1.2 juta penumpang untuk setahun.
"Jumlah itu merangkumi 95 peratus penumpang yang menaiki untuk ke tempat kerja," katanya.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang belum membuat permohonan rasmi kepada Kementerian Pengangkutan berhubung pelaksanaan perkhidmatan teksi air di negeri ini.
"Masih belum ada permohonan yang rasmi, tetapi sebelum ini Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP) pernah cuba untuk mempromosikan teksi air di bahagian pulau tetapi pengangkutan awam adalah satu produk sosial dan kebanyakan mengambil masa panjang untuk 'retrun on investment'.
"Mungkin tiada 'return on investment' pun dari segi pembiayaan kerana ia satu kemudahan sosial, oleh itu, pihak kerajaan perlu tanggung segala pelaburan kapasiti mahu pun kos pengoperasian. Jadi isu ini perlu diteliti," tambahnya.
Sebelum ini, selepas 126 tahun menjadi pengangkutan tertua di Pulau Pinang, perkhidmatan ikonik feri sebagai alternatif laluan dari Seberang Perai untuk ke bahagian pulau dan sebaliknya telah digantikan dengan bot laju bermula 1 Januari 2021.
Perkara itu diumumkan SPPP yang mana, perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar akan dihentikan bermula 1 Januari 2021 dengan feri Ro-Ro hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal sahaja.
Ini bermakna, kesemua kenderaan empat tayar tidak lagi boleh menggunakan laluan laut sebagai alternatif untuk ke bahagian pulau atau sebaliknya.
Bermula tarikh itu juga, perkhidmatan feri bagi penumpang, motosikal dan basikal akan diambil alih oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) daripada Prasarana Malaysia Berhad.
PPSB juga akan menyediakan perkhidmatan katamaran untuk penumpang, motosikal dan basikal bagi menggantikan feri sebelum ini. - Sinar Harian
#feri #PSAH #Chow Kon Yeow #pengangkutan awam
;