Fenomena salji di Gunung Kinabalu jarang berlaku

Astro Awani
Februari 28, 2022 14:42 MYT
Fenomena yang berlaku pada jam 6.40 pagi itu direkodkan selama dua minit. - Sumber foto FB/Wandy John
KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya, 154 pendaki berserta malim gunung menjadi antara yang bertuah apabila dapat menyaksikan fenomena salji turun di Gunung Kinabalu, pagi Isnin.
Mereka yang berada di sekitar Sayat-Sayat check point sedang dalam pendakian ke puncak terpegun melihat kejadian yang jarang sekali berlaku itu secara langsung.
Keterujaan itu mendorong mereka untuk merakam kejadian itu sebelum memuat naik ke media sosial, yang kemudian mendapat perhatian warga media sosial.
Penolong Pengarah Taman Kinabalu, Justinus Guntabid ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin, berkata, kali terakhir fenomena salji dilaporkan di gunung itu adalah pada sekitar tahun 90an.
Menurut Justinus, fenomena itu jarang berlaku dengan kali terakhir berlaku dan dilaporkan ialah pada tahun 1993.
“Dari gambar memang nampaknya seperti salji dan jika begini jadinya, sebenarnya jarang berlaku, ia pernah juga berlaku pada tahun 1975 dan ini merupakan satu tempoh yang lebih lama,” kata Justinus.
Katanya, fenomena yang berlaku pada jam 6.40 pagi itu direkodkan selama dua minit.
Justinus turut berkata, pada sekitar jam 2 hingga 10 pagi Isnin, suhu yang dilaporkan di gunung itu adalah 6.9 hingga 12.3 darjah Celcius.
“Suhu ini lebih sejuk daripada biasa pada tahun ini, kebiasaannya (dalam rekod) kami, suhu direkodkan pada 7.5 Celcius. Jadi, penurunan berlaku, kelembapan pula ialah di antara 52 dan 62 peratus dan ini direkodkan sekitar jam 2 pagi dan 10 pagi, jadi kelembapan itu adalah lebih daripada biasa,” katanya.
Fenomena itu sempat dirakamkan oleh pelatih laluan Via Ferrata, Hajiri Sulumin, ketika sedang menunggu pendaki turun dari puncak Gunung Kinabalu.
BACA: Salji turun di Gunung Kinabalu
Terdahulu, pada tahun 2018, akhbar tempatan ada melaporkan mengenai penemuan ketulan ais di puncak Gunung Kinabalu.
Suhu yang mencapai -1 dan -2 darjah Celcius di puncak gunung itu telah menyebabkan takungan air bertukar menjadi ketulan ais.
#salji Gunung Kinabalu #via ferrata #Justinus Guntabid #hajiri sulumin
;