Fenomena kurang hujan: Sabah perlu bersedia hadapi isu air lebih serius awal 2024
Bernama
Oktober 22, 2023 16:52 MYT
Oktober 22, 2023 16:52 MYT
KOTA KINABALU: Sabah diminta membuat persiapan awal termasuk mengambil langkah bersesuaian bagi menghadapi fenomena kekurangan hujan yang dijangka berlaku antara Januari hingga Mac tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata mengikut ramalan, Sabah menjadi satu-satunya negeri yang bakal berdepan keadaan pengurangan kadar taburan hujan bulanan hingga 20 peratus sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL), meskipun masih berlaku hujan dan ribut petir di sesetengah kawasan di negeri itu.
Menurut Armizan pihaknya dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengenai perkara itu ketika membentangkan laporan rasmi ramalan cuaca dalam tempoh MTL pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, 17 Okt lepas.
"Diramalkan musim MTL 2023/2024 akan bermula pada November ini dan berterusan hingga Mac 2024. Sebagaimana MTL sebelum ini, sebahagian besar negeri dijangka menghadapi keadaan cuaca lebih lembap dalam tempoh ini yang membawa risiko banjir.
"Namun, diramalkan Sabah akan mengalami keadaan agak berbeza pada MTL kali ini dengan keadaan pengurangan kadar taburan hujan. Dijangka jumlah hujan bulanan (mm) bagi Sabah adalah kurang 20 peratus di bawah purata dalam tenpoh itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Bergerak di Kampung Warisan, Darau, di sini hari ini.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata kesiapsiagaan kerajaan Sabah dalam menghadapi fenomena itu adalah perlu bagi memastikan bekalan air masih dapat disalurkan kepada semua penduduk kerana dikhuatiri kekurangan hujan akan menyumbang kepada risiko gangguan bekalan air.
"Gangguan bekalan air yang sememangnya ada di Sabah akan menjadi lebih serius kerana 20 peratus adalah satu kadar besar. Kekurangan jumlah taburan hujan dikhuatiri memberi kesan kepada tahap bekalan air mentah di kawasan empangan dan sungai yang menjadi sumber bekalan untuk loji-loji rawatan air," katanya.
Justeru, Armizan mengesyorkan kerajaan Sabah supaya mendapatkan laporan terperinci daripada METMalaysia bagi mengenal pasti lokasi dijangka berdepan kekurangan taburan hujan agar pelan awal dapat dirangka untuk menangani risiko isu gangguan bekalan air di kawasan terbabit.
Beliau turut mengingatkan agensi berkaitan termasuk pasukan tindak balas memastikan aset termasuk pusat pemindahan sementara untuk berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi menghadapi banjir meskipun Sabah diramal mengalami kekurangan hujan sepanjang MTL.
-- BERNAMA