Fenomena kerang terdampar, orang ramai serbu Pantai Pandak
Astro Awani
November 20, 2020 16:57 MYT
November 20, 2020 16:57 MYT
KUALA TERENGGANU: Pantai Pandak, Chendering yang sebelum ini sunyi ekoran musim tengkujuh dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diserbu orang ramai ramai susulan penemuan kerang.
Kira-kira ratusan kilogram kerang terdampar di pantai berkenaan berikutan fenomena air pasang sejak beberapa hari lalu.
Dek kerana penemuan kerang itu kawasan Pantai Pandak seperti pesta dan orang ramai mula berkunjung untuk mengutipnya secara percuma.
Tinjauan Astro Awani mendapati orang ramai masih berkunjung membawa keluarga beserta anak kecil untuk mengutip kerang yang terdampar di sepanjang pantai tersebut sejak Rabu.
Selain itu, terdapat juga pengunjung-pengunjung yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menerusi PKPB..
Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti riadah di tempat berisiko sepanjang musim hujan sebagai langkah keselamatan.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Wan Mohd Azamani Wan Hamzah berkata, cuaca tidak menentu dan fenomena ombak besar boleh mendatangkan risiko kepada orang ramai.
"Kita ingatkan kepada orang ramai supaya tidak terlalu ghairah bermain ataupun menjalankan aktiviti pantai seperti mengutip kerang pada musim ini kerana tidak sesuai.
"Ketika musim tengkujuh baru melanda dan untuk makluman semua di Pantai Pandak ini pernah berlaku kejadian lemas dan telah ramai mangsa yang terlibat (lemas) di sini," katanya selepas melakukan rondaan di pantai berkenaan.
Fenomena kerang terdampar itu pernah berlaku di beberapa pantai di negeri Terengganu.
Antara kawasan yang pernah menjadi tumpuan ramai adalah Pantai Rusila, Marang dan Pantai Rhu Muda, Dungun.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKPB
#Astro Awani
#Kuala Terengganu
#kerang
#Diserbu orang ramai
#nelayan
#Pantai Pandak
#Chendering