Fenomena kerang terdampar di pantai Marang, penduduk bagai berpesta!

Astro Awani
November 13, 2019 18:07 MYT
Aktiviti itu hanya dilakukan ketika waktu air laut surut dan lazimnya seawal jam 8 pagi mereka telah berada di pantai. - Astro AWANI
Fenomena ribuan kerang terdampar yang memenuhi pesisiran Pantai Rusila, Marang menjadi tarikan orang ramai untuk mengutipnya.
Ia juga menjadi rezeki tambahan khusus buat penduduk di sekitar daerah Marang sejak dua hari yang lalu.
Menurut penduduk, fenomena musim kerang yang banyak itu mula dikesan sejak empat tahun yang lalu dan menjadi tradisi penduduk untuk mengutipnya.
Kejadian berkenaan berlaku apabila musim peralihan monsun timur laut sekitar bulan November.
Jelas mereka, fenomena itu berlaku hanya sekali sahaja dalam tempoh setahun.
“Memang banyak (kerang yang dijumpai), jadi pendapatan segera buat penduduk di sini. ‘Rezeki tersepak’ orang kata. Alhamdulillah.
“Sekarang ni macam ni lah... dengan faktor ombak besar jadi payah nak ambil,” ujar seorang penduduk yang bekerja sebagai tukang simen, Zaidi Mansor.
Sementara itu seorang lagi penduduk, Suffian Fazlillah Mat Lazim berkata, kejadian itu membuatkan warga tempatan bagaikan berpesta di pantai.
“(Inilah) rezeki tambahan untuk orang kampung ni. Suka-suka sewaktu pesta macam ini. Fenomena ini tidak menentu, kalau banyak sangat sampai petang orang cari. Kalau macam kurang, sekitar waktu tengah hari orang dah balik,” ujarnya.
Jelas mereka, aktiviti itu hanya dilakukan ketika waktu air laut surut dan lazimnya seawal jam 8 pagi mereka telah berada di pantai.
Jika sebelum ini mereka mampu mengutip sehingga bertan-tan kerang namun dua tahun kebelakangan ini jumlahnya semakin berkurangan.
#fenomena kerang terdampar #kerang di pantai #pantai marang #rezeki penduduk #terengganu
;