Fenomena kepala air: Penyelamat jumpa separuh badan mangsa
Abd Razak Mohd Ali
Mei 16, 2022 13:47 MYT
Mei 16, 2022 13:47 MYT
IPOH: Pasukan penyelamat menemukan separuh tubuh manusia dipercayai milik salah seorang pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, pada Ahad.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, bahagian atas tubuh manusia itu ditemui jam 10.20 pagi ini.
“Mangsa telah dijumpai pada jam 10.20 pagi oleh pasukan penyelamat dalam timbunan tanah,” katanya di sini, hari ini.
Jurucakap berkenaan berkata, mayat itu kemudiannya dibawa turun ke Pos Kawalan Bomba (PKB) oleh anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).
Semalam, pasukan penyelamat menemukan anggota tubuh manusia dipercayai milik salah seorang pendaki wanita itu.
Penolong Pengarah Operasi, JBPM Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, kaki bahagian kiri itu ditemui oleh anggota STORM kira-kira jam 5.05 petang.
Katanya, anggota badan itu dijumpai dalam jarak 300 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum hilang.
Media sebelum ini melaporkan dua wanita dilaporkan hilang ketika mendaki bersama 27 pendaki lain di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini pada Ahad, dikhuatiri dihanyutkan kepala air.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, masing-masing dari Cheras dan Klang.