Fenomena Fujiwara punca banjir di Pulau Pinang
Nuradilla Noorazam
November 7, 2017 18:04 MYT
November 7, 2017 18:04 MYT
Fenomena Fujiwara dikenal pasti sebagai punca hujan lebat berterusan hingga mengakibatkan banjir di Pulau Pinang pada Ahad lalu.
Pakar Oseanografi Universiti Malaya, Professor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata fenomena itu diburukkan lagi dengan pertembungan dua taufan iaitu taufan Damrey yang melanda Vietnam dan taufan lebih kecil di Teluk Siam.
"Taufan yang kecil ini menghasilkan angin kencang di Pulau Pinang pada Sabtu. Dalam laman web cuaca dunia seperti nullschool.com, taufan kecil ini sudah beralih ke Teluk Siam semula selepas merentasi Pulau Pinang tetapi masih kuat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini.
Tambah Azizan, taufan Damrey kini telah lemah namun taufan kecil di Teluk Siam masih berada di Pulau Pinang pada kelajuan hampir 54 kilometer pada Selasa.
Katanya, di Sarawak pula, sebuah satu ekor taufan kecil dapat dilihat yang akan membawa hujan lebat di negeri itu.
Selain itu, jelas Azizan, negara masih perlu memberi penekanan kepada aspek latihan pakar meteorologi bagi membolehkan mereka menterjemah data cuaca selain memberi ramalan lebih tepat mmengenai fenomena cuaca.
"Setakat ini, pakar meteorologi negara hanya diberikan latihan di dalam negara dan tidak berpeluang untuk mempelajari fenomena cuaca kompleks yang berlaku di luar negara.
"Kita tidak menawarkan subjek meteorologi dalam universiti pada masa ini. Oleh itu, Kita memerlukan lebih banyak pakar untuk memastikan negara bersedia menghadapi bencana alam pada masa depan," katanya.
#banjir
#dua taufan
#Fujiwara
#Pakar Oseanografi Universiti Malaya
#Professor Datuk Dr Azizan Abu Samah
#pulau pinang
#taufan damrey
#teluk Siam