Fenomena El Nino: Semua sekolah di Kedah, Perlis diarah tutup Selasa dan Rabu
Astro Awani
Mac 21, 2016 14:57 MYT
Mac 21, 2016 14:57 MYT
Semua sekolah di Kedah dan Perlis diarahkan tutup mulai esok dan Rabu ekoran cuaca panas melampau dan kering akibat fenomena El Nino sekarang.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid bagaimanapun berkata penutupan itu hanya melibatkan pelajar di kawasan tersebut.
Guru-guru sebaliknya dikehendaki hadir bertugas seperti biasa.
"Hanya proses pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah di dua negeri itu ditutup. Bagaimanapun, guru-guru perlu hadir ke sekolah," katanya kepada pemberita selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan) daripada Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya di Damansara, hari ini.
Beliau turut berkata, tiada keperluan untuk pihak sekolah menggantikan kedua-dua hari cuti itu.
Sementara itu Mahdzir Khalid berkata keputusan itu diambil setelah suhu di kawasan terbabit yang melebihi 37 darjah Celcius dan mendapat nasihat daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kementerian Kesihatan.
Mahdzir berkata kementeriannya juga akan terus memantau keadaan cuaca di negeri-negeri lain dan akan membuat pengumuman lanjut berdasarkan keadaan semasa.
Jabatan Meteorologi sebelum ini mengumumkan suhu di Kedah dan Perlis adalah antara yang tertinggi di seluruh negara yang kini dilanda fenomena El Nino sehingga mencapai lebih 37 darjah selsius, terutama di Alor Setar.
Semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sekolah di sesuatu kawasan akan ditutup jika suhu melebihi 37 darjah Celsius selama lebih 72 jam.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan keadaan itu hanya akan berakhir pada Mei atau Jun.