Fenomena air pasang: Empat lokasi di Kemaman berisiko banjir

Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Disember 20, 2021 14:13 MYT
Setakat ini, sejumlah enam pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka untuk menempatkan sejumlah 158 mangsa banjir yang terjejas di daerah Kemaman. - Foto Astro AWANI
KEMAMAN: Fenomena air pasang besar menyebabkan limpahan air sungai ke beberapa kampung di daerah ini akan dinaiki air.
Kampung yang terbabit termasuk penempatan yang terletak di kawasan rendah di Kampung Batu 13, Kampung Batu 14, Kuala Tayor dan Kampung Tanjung Maktat.
Penduduk, Che Ku Elisa Che Ku Razak, 32 berkata susulan keadaan berkenaan dia mengambil keputusan untuk berpindah ke tempat selamat lebih awal.
Menurutnya, situasi ini berulang saban tahun, namun kebimbangan tetap dirasai apatah lagi paras air meningkat secara mendadak terutamanya pada waktu malam.
"Berpindah ini senang kerana saya mempunyai anak kecil, air pun semakin naik, depan rumah kami sahaja air sudah naik ke paras lutut. Setiap tahun memang begini, jadi berpindah ke mana pun, hanya ke rumah adik saya," kata Che Ku Elisa ketika ditemu bual Astro AWANI, di sini pada Isnin.
Menurutnya, walaupun struktur kediamannya dibina lebih tinggi berbanding rumah-rumah jirannya, peningkatan mendadak air tidak dapat dijangka.
Tambahnya, tahun lalu fenomena air pasang turut menyebabkan air naik sehingga paras buku lali.
BACA SEMUA BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI
"Rumah tinggi pun tetapi air naik juga, hari ini kami sekeluarga membuat keputusan untuk berpindah lebih awal. Ini memudahkan kami kerana anak saya baharu berusia empat bulan," tambahnya.
Setakat ini, sejumlah enam pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka untuk menempatkan sejumlah 158 mangsa banjir yang terjejas di daerah Kemaman.
Rekod banjir di lapan negeri di Semenanjung Malaysia pula menunjukkan sejumlah 398 PPS telah dibuka dan melibatkan 50,566 mangsa dari 14,693 keluarga.
#bencana banjir 2021 #fenomena air pasang #Kuala Tayor #Kampung Tanjung Maktat
;