Fenomena air pasang besar mula landa empat negeri
Bernama
November 5, 2021 17:22 MYT
November 5, 2021 17:22 MYT
KUALA LUMPUR: Fenomena air pasang besar mula melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor sejak lewat malam tadi menyebabkan limpahan ke beberapa kawasan termasuk penempatan penduduk.
Situasi itu seperti dijangkakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada Ahad lepas, yang memaklumkan air pasang besar dijangka berterusan di negeri terbabit selama empat hari bermula semalam (4 Nov).
JPS turut memberi peringatan fenomena itu akan menjadi lebih buruk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak selain berisiko mengakibatkan banjir kilat, limpahan air laut serta banjir pantai.
Di KEDAH, beberapa kawasan di negeri itu khususnya di Kuala Kedah, mula dinaiki air sekitar 11.30 malam tadi menyebabkan limpahan air ke penempatan penduduk dan kawasan pasar namun surut tidak lama kemudian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata fenomena air pasang besar dijangka paling tinggi pada 1.17 pagi esok dan kawasan berisiko akan terus dipantau khususnya di Kuala Kedah, Yan, Jerlun serta Kuala Muda.
"Keadaan banjir yang sedang melanda negeri ini juga dijangka bertambah buruk khususnya bagi kawasan tepi dan muara sungai serta perpindahan mangsa banjir juga dijangka bertambah susulan air pasang besar sehingga Selasa depan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Tinjauan Bernama ke Pasar Seberang Kota, Kuala Kedah tengah hari tadi mendapati kesan limpahan air masih kelihatan ekoran air pasang besar yang berlaku tengah malam tadi, namun tidak menjejaskan penduduk khususnya peniaga di kawasan itu.
Seorang peniaga makanan kering Chempa Ladun, 41, berkata limpahan air pasang besar tengah malam tadi datang dengan perlahan sebelum surut tidak lama kemudian.
"Memang tiap-tiap tahun bila berlaku air pasang besar, air akan naik di kawasan pasar nelayan ini, kami pun dah bersedia awal, macam sekarang air naik tengah malam, tapi barang-barang di kedai sudah disimpan dan dibungkus elok," katanya.
Di PERAK, air pasang besar berlaku setinggi lebih semeter pada kira-kira 4.30 pagi tadi menyebabkan air melimpah sedalam 0.3 meter ke penempatan penduduk yang rendah di beberapa kawasan di pesisiran Sungai Perak, Teluk Intan.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak berkata 12 kawasan di sekitar daerah itu terjejas akibat fenomena berkenaan namun tiada mangsa dipindahkan manakala air mula surut pada 7 pagi tadi.
Lokasi terjejas ialah Kampung Sungai Kerawai, Kampung Terengganu, Pekan Teluk Intan, Kampung Esso, Kampung Pisang Batak Rabik, Ban Taman Maharani, Lorong Kalat Batak Rabit, Batu 6 Jalan Maharajalela, Taman Muhibbah Batu 6, Taman Desa Aman, Kampung Batak Rabik dan Lorong Masjid Kampung Bahagia.
"Pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) sentiasa memantau kawasan terlibat namun keadaan dikhuatiri menjadi buruk sekiranya berlaku hujan lebat dan ban pecah," katanya.
Di SELANGOR, air pasang besar yang melanda pesisir pantai negeri itu masih terkawal dengan dipantau secara bersepadu oleh beberapa Balai Bomba dan Penyelamat negeri bersama agensi bencana lain sejak 4.30 hingga 7.30 pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor berkata lokasi pemantauan termasuk Jeti Pulau Ketam, Jeti Sementa, Jeti Sritama, Jeti Sri Tanjung, Jeti Sepakat, Jeti Sirip Biru, Pengkalan Nelayan Kampung Tok Muda Kapar, Pengkalan Sungai Keramat dan Kampung Ban Pecah.
"Keadaan air pasang melebihi paras biasa namun keadaan terkawal, rumah penduduk tidak dinaiki air dan tiada pemindahan mangsa dilakukan serta air mula surut pada 7 pagi," katanya dalam kenyataan.
Di JOHOR, JBPM negeri akan menumpukan rondaan bagi fenomena itu di kawasan sepanjang pesisir pantai yang mempunyai penduduk di beberapa daerah antaranya Batu Pahat, Pontian, Mersing, Johor Bahru, Kota Tinggi dan Muar.
Pengarahnya Datuk Yahaya Madis berkata arahan kepada seluruh Balai Bomba dan Penyelamat juga telah dikeluarkan bagi kesiapsiagaan dan rondaan sepanjang tempoh air pasang besar itu.
"Kesiapsiagaan ini merangkumi aspek kesiapsiagaan anggota dan aset-aset jabatan, terutamanya untuk memberi bantuan kepada penduduk setempat sekiranya berlaku kejadian banjir yang memerlukan pemindahan," katanya kepada Bernama.
--BERNAMA
#fenomena air pasang
#air pasang besar
#empat negeri
#Kedah
#Perak
#Selangor
#Johor
#JPS
#Jabatan Pengairan dan Saliran