Fenomena air pasang besar landa empat negeri mulai 4 Nov

Bernama
Oktober 30, 2021 04:46 MYT
Fenomena air pasang besar dijangka melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor selama empat hari mulai 4 Nov depan. -Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Fenomena air pasang besar dijangka melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor selama empat hari mulai 4 Nov depan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali berkata fenomena tersebut akan menjadi lebih buruk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.
Katanya, ia berisiko mengakibatkan banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai.
Menurut Nor Hisham kawasan terbabit di Kedah adalah Kuala Muda; Perak (Bagan Datuk); Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) serta Johor (Batu Pahat dan Pontian).
"Orang ramai terutama penduduk di pesisir pantai dinasihatkan supaya berwaspada berdepan dengan fenomena air pasang ini selain memantau keadaan cuaca," katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Selain itu, pengunjung pantai dinasihatkan lebih berhati-hati dengan tidak menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh tersebut.
-- BERNAMA
#fenomena air pasang besar #empat negeri #Jabatan Pengairan dan Saliran #Nor Hisham Mohd Ghazali
;