Fenomena air pasang besar: Bandar Baharu sekali lagi dilanda banjir

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 19, 2024 11:10 MYT
Anggota pasukan keselamatan bertanya khabar penduduk di Kampung Besar di Mukim Bagan Samak, Bandar Baharu yang rumah mereka dilanda banjir awal pagi Sabtu. - Gambar ihsan APM
BANDAR BAHARU: Fenomena air pasang besar yang berlaku turut mengakibatkan daerah Bandar Baharu di negeri Kedah dilanda banjir kilat.
Kejadian air pasang besar yang mula berlaku pada 2 pagi Sabtu menyebabkan air naik dan memasuki rumah penduduk di Kampung Besar di Mukim Bagan Samak, di sini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, ini kali kedua fenomena air pasang besar yang melanda kampung terbabit, selepas kali pertama pada Khamis lalu.
“Kampung itu sekali lagi dilanda air pasang besar, hari ini, menyebabkan 100 penduduk daripada 25 keluarga di kawasan itu terjejas akibat banjir kilat.
"Faktor kejadian banjir adalah disebabkan air limpahan dari Sungai Kerian terus yang tidak dapat turun ke laut terus memasuki rumah penduduk.
“Tiga keluarga kemudian dipindahkan ke rumah saudara-mara terdekat untuk keselamatan mereka.
“Air bagaimanapun kemudian surut secara perlahan-lahan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Abdul Rahim berkata, dua pam air milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyedut limpahan air di kampung besar dapat berfungsi dengan baik.
Abdul Rahim berkata, pemantauan terus dilakukan oleh anggota APM bagi memastikan tahap keselamatan penduduk di tahap optimum.
#air pasang besar #Bandar Baharu #banjir #Mukim Bagan Samak
;