Fenomena air laut pasang besar di pesisir pantai Selangor terkawal - UPBN

Bernama
Oktober 17, 2020 13:28 MYT
Fenomena air pasang besar dengan ketinggian air laut boleh mencecah hingga 5.8 meter, diramal melanda pesisir pantai di lima daerah di Selangor bermula hari ini hingga Isnin depan, serta 15 dan 16 Nov depan. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai Selangor hari ini dilaporkan terkawal dan tiada sebarang limpahan air berlaku sehingga mengakibatkan kejadian banjir serius.
Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata setakat 11 pagi tadi, hanya halaman dua buah rumah di Kampung Sungai Janggut, Kuala Selangor dilaporkan dinaiki air akibat limpahan air laut kira-kira 6.11 pagi, bagaimanapun air telah surut sekitar 7 pagi.
Katanya Jeti Pulau Ketam, Klang turut dinaiki air bagi tempoh sama namun keadaan tersebut juga kembali reda.
"Hari ini hanya ada limpahan kecil air (berhampiran pantai) dan tiada kes yang serius melibatkan petempatan penduduk di kesemua kawasan sekitar daerah Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Sepang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Fenomena air pasang besar dengan ketinggian air laut boleh mencecah hingga 5.8 meter, diramal melanda pesisir pantai di lima daerah di Selangor bermula hari ini hingga Isnin depan, serta 15 dan 16 Nov depan.
-- BERNAMA
#fenomena alam #air pasang besar #pesisir pantai #pantai selangor #upbn #Unit Pengurusan Bencana #Selangor
;