Felo Perdana platform terbaik belia selami budaya kerajaan peringkat tertinggi - PM Anwar
Firdaus Azil
Ogos 23, 2023 14:52 MYT
Ogos 23, 2023 14:52 MYT
PUTRAJAYA: Program Felo Perdana yang kini memasuki tahun ke-10 penubuhannya merupakan platform terbaik untuk golongan belia menerima pendedahan tentang hala tuju, gerak kerja, dan budaya kerajaan di peringkat tertinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau percaya program itu juga dapat membuatkan golongan yang bakal memimpin negara di masa akan datang lebih memahami dasar kerajaan.
“Felo Perdana ini merupakan satu rencana yang memberikan pendedahan kepada anak-anak muda, mengenali dan bukan saja sosok pimpinan, tapi lebih penting tentang hala kerja, tradisi dan budaya di kerajaan.
"Pendedahan ini memberi ruang untuk mereka lebih memahami dasar, dan saya percaya dapat timba pengetahuan.
“Mudah-mudahan program ini dipilih khas untuk anak-anak yang mempunyai prestasi baik dan cemerlang, dan dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk persiapan bagi pimpinan masa akan datang,” katanya pada Majlis Penyerahan Felo Perdana, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali.
Sementara itu, dalam kenyataan media susulan, Kementerian Belia dan Sukan berkata, Felo Perdana merupakan program berbentuk mentoring dan internship dengan matlamat melahirkan golongan belia yang dinamik, berdaya saing, mempunyai pengetahuan yang relevan berkaitan sistem pentadbiran negara.
Selain itu, KBS berkata, ia juga dirangka bagi membolehkan belia lebih bersedia menghadapi cabaran pada masa akan datang, selaras dengan aspirasi di bawah kerangka Malaysia Madani.
“Melalui program ini, Felo akan mendapat bimbingan dan menimba pengalaman berkhidmat secara terus daripada Ahli Jemaah Menteri dengan nisbah dua bagi setiap ahli Jemaah Menteri dan seorang bagi Ketua Setiausaha Negara (KSN).
“Felo yang dipilih perlu melalui proses pemilihan yang teliti dan mengikuti sesi orientasi yang telah ditetapkan bagi tujuan pendedahan, terutamanya melibatkan tatacara dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh seorang pegawai yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu lagi.
Bagi edisi 2023, KBS berkata, 56 Felo terpilih akan memulakan tugas bermula 23 Ogos hingga 31 Disember.
Felo juga layak menerima elaun RM2,000 bagi lepasan universiti, dan RM1,000 bagi yang masih menuntut di universiti.