Felo Perdana: Masa untuk buka mata anak muda - PM
Hilal Azmi
Julai 12, 2017 18:30 MYT
Julai 12, 2017 18:30 MYT
Program Felo Perdana edisi kelima menjadi platform terbaik melatih generasi muda terbabit secara langsung dengan golongan pembuat dasar kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata program itu memberikan pengalaman tidak ternilai bagi melihat sendiri usaha yang dibuat kerajaan serta proses membuat keputusan bagi satu-satu dasar.
Katanya, anak muda selalu membayangkan kerja mentadbir kerajaan itu mudah, jadi melalui program tersebut, ia akan membuka mata bahawa usaha yang dibuat tidaklah semudah seperti yang dilihat dari luar.
"Saya dapati dan kerajaan berpendapat bahawa program ini sangat berguna dan mencerminkan komitmen kerajaan, pertamanya kita menghargai peranan generasi melania dalam negara kita.
"Kedua saya percaya maju mundur sesebuah negara itu bergantung kepada pengurusan bakat muda," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Felo Perdana 2017 kepada Jemaah Menteri di Bangunan Perdana Putra pada Rabu.
Program telah melahirkan 403 Felo Perdana sejak ia dimulakan pada 2013.
Program Felo Perdana inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membolehkan peserta mengalami sendiri bagaimana jentera pentadbiran kerajaan menggubal dasar baharu dan membuat keputusan pentadbiran yang memberi kesan kepada rakyat, sekali gus menjadi perantaraan untuk menjelaskan prosedur itu kepada umum, khususnya generasi muda.
Dalam pada itu, peserta Felo Perdana 2017 teruja dengan pemilihan kali ini dan masing-masing berusaha untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman sepanjang tempoh dalam program ini.