Felo Perdana cungkil bakat kepimpinan cemerlang
Hasbullah Awang Chik
Jun 11, 2013 17:48 MYT
Jun 11, 2013 17:48 MYT
Pihak kerajaan melalui program Felo Perdana membuka peluang kepada golongan muda yang cemerlang dan berbakat untuk menyertai urus tadbir negara.
Felo yang terpilih akan bertugas di peringkat tertinggi dalam Kerajaan Persekutan membantu Menteri Kabinet dalam melaksanakan agenda nasional.
Mereka yang terpilih harus mempunyai minat di dalam hal ehwal awam dan perancangan dasar kerajaan.
Felo akan bertindak dalam merancang dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan di samping memberi penerangan tentang program kerajaan melalui media sosial dan saluran komunikasi strategik yang lain.
Sebagai pemimpin muda, felo dikehendaki menyumbangkan idea baru dan berani kepada menteri di samping berperanan sebagai jambatan antara generasi muda dan kerajaan.
Felo Perdana dibahagikan kepada dua kategori iaitu Felo Perdana Siswazah dan Felo Perdana Graduan.
Felo Perdana Siswazah terbuka kepada pelajar yang sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi. Calon yang berminat perlu bersedia untuk menjalani penempatan sekurang-kurangnya enam minggu.
Felo Perdana Graduan pula terbuka kepada graduan baru dari institut pengajian tinggi. Calon yang berminat perlu bersedia untuk menjalani penempatan sekurang-kurangnya tiga bulan dalam program ini.
Calon yang berminat untuk mengemukakan permohonan perlu menghantar resume beserta esei lingkungan 500 patah perkataan.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 20 Jun ini dan calon boleh melayari www.perdanafellows.com untuk maklumat lanjut.