Felo Akademik UUM umum cabar Syed Saddiq

Bernama
Februari 8, 2020 18:01 MYT
Muhammad Muzzammil mengumumkan hasratnya untuk mencabar Syed Saddiq bertanding jawatan Ketua Armada Bersatu pada pemilihan parti itu nanti.
Felo Akademik Universiti Utara Malaysia, Muhammad Muzzammil hari ini mengumumkan hasratnya untuk bertanding bagi jawatan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan parti itu nanti.
Muhammad Muzzammil, 30, yang merupakan Exco Armada Nasional membuat pengumuman berkenaan di Majlis Pelancaran Pertubuhan Angkatan Baru Malaysia di sini hari ini.
Katanya, beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan berkenaan kerana merasakan Armada kini mengalami gelombang penolakan oleh anak muda dan memerlukan barisan pimpinan yang mempunyai hala tuju jelas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Matlamat utama saya adalah untuk menaikkan kembali nama dan jenama Armada agar ia kembali menjadi pilihan anak muda seperti mana ketika sebelum PRU ke 14 lepas," katanya.
Dengan pengumuman berkenaan, ia menjadikan Ketua Armada ,Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sebelum ini mengumumkan akan mempertahankan jawatannya itu bakal berhadapan dengan sekurang-kurangnya dua pencabar, yakni Muhammad Muzzammil dan Ketua Cawangan Armada Seaview Park, Pulau Pinang, Razalif Mohd Zain, 30.
BACA: Penerbit filem cabar Syed Saddiq tanding Ketua Armada Bersatu
Syed Saadiq adalah Menteri Belia dan Sukan, yang juga Ahli Parlimen Muar.
Majlis hari ini turut menyaksikan seorang lagi Exco Armada Nasional, Abu Hafiz Salleh Hudin, 31, mengumumkan jasrat untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Armada. - BERNAMA
BACA: Tiga jawatan utama Bersatu dapat sokongan tidak dipertandingkan
#Felo Akademik UUM #Ketua Armada #Muhammad Muzzammil #Razalif Mohd Zain #Syed Saddiq dicabar #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
;