Felda: Usaha keluar penyata hutang peneroka telah bermula sejak Disember 2016
Bernama
September 12, 2018 06:51 MYT
September 12, 2018 06:51 MYT
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada Rabu menjelaskan bahawa usaha untuk mengeluarkan penyata hutang peneroka yang dimuktamadkan telah bermula sejak Disember 2016 lagi.
"Pihak Felda ingin menjelaskan bahawa proses memuktamadkan penyata hutang adalah satu proses yang berterusan kerana aktiviti tanam semula kebun peneroka dijalankan secara berperingkat dan bukannya serentak.
"Kesemua peneroka yang telah dimuktamadkan hutang mereka telah menerima penyata hutang setiap suku tahun yang diedarkan oleh Pengurusan Rancangan Felda," kata Felda dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Agensi itu mengeluarkan kenyataan balas berikutan laporan berita yang disiarkan di televisyen pada 8 Sept lalu yang menyebut pengurusan Felda gagal menyediakan penyata hutang peneroka.
Felda menjelaskan penyata hutang penerokanya terbahagi kepada dua iaitu Penyata Hutang Interim (penyata hutang yang belum dikunci) dan Penyata Hutang Dimuktamadkan (penyata hutang yang telah dikunci).
Penyata Hutang Interim merangkumi hutang pembangunan kebun manakala Penyata Hutang Dimuktamadkan merangkumi hutang pembangunan kebun, hutang sosioekonomi dan hutang baja.
"Penyata Hutang Interim adalah penyata hutang peneroka bagi tempoh tahun pertama hingga tahun kelapan semasa program tanam semula berjalan. Ianya akan dimuktamadkan pada tahun kesembilan selepas Pengurusan Rancangan Felda mendapat persetujuan bersama dengan Ahli Jawatankuasa Tanam Semula yang terdiri daripada peneroka rancangan yang terlibat dalam program tanam semula tersebut.
"Penyata Hutang Interim dikeluarkan oleh Pengurusan Rancangan dan diedarkan kepada peneroka setiap suku tahun untuk semakan. Manakala penyata yang telah dimuktamadkan dikeluarkan oleh ibu pejabat dan diedarkan oleh Pengurusan Rancangan pada setiap suku tahun," katanya.
Ia berkata sebanyak 62 peratus daripada 112,635 peneroka telah pun menjalankan aktiviti tanam semula bersama Felda di mana 50 peratus daripadanya masih dalam tempoh lapan tahun tanam semula yang telah menerima Penyata Hutang Interim.
"Sehingga kini, usaha pihak Pengurusan Rancangan untuk berbincang dengan baki peneroka dengan tujuan untuk memuktamadkan hutang mereka hanya mendapat persetujuan daripada 18 peratus peneroka sahaja," katanya.
-- BERNAMA