FELDA sasar jadi syarikat Fortune 500 menjelang 2040

Ehsan A Marisah
Julai 6, 2021 15:22 MYT
7 Julai ialah Hari Peneroka Felda yang disambut oleh 11 wilayah termasuk 317 rancangan seluruh negara.
KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menyasarkan matlamat ke arah syarikat Fortune Global 500 menjelang tahun 2040.
Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya akan memfokuskan kepada tiga hala tuju pada Hari Peneroka FELDA bertemakan ‘Anjakan Minda Peneroka’ tahun ini.
“Apabila berbicara mengenai peneroka, ia memberikan rujukan kepada generasi hari ini yang tidak melalui kepahitan ibu bapa mereka, inilah anjakan paradigma ingin dilakukan, fokusnya adalah bagaimana kita dapat mengubah pemikiran berfikiran mereka.
“Keduanya, bagi perladangan dapat ditingkatkan penghasilannya dan ketiga, iaitu mempunyai tadbir urus yang baik dengan melunaskan hutang-hutang yang sedia ada serta meningkatkan efisien akauntabiliti bagi tahun-tahun seterusnya dan menjadi syarikat Fortune 500 menjelang 2040,” katanya dalam program AWANI Pagi, pada Selasa.
Dalam pada itu, Idris menambah, pihaknya akan terus memperkasakan FELDA dan peneroka dengan memantapkan sistem perladangan.
“Saya terjemahkan kepada peneroka sebagai alif, ba dan ta, iaitu air, baja serta teknologi. Bagi memastikan pengairan yang serius, pembinaan lubang lembap secara menyeluruh dan untuk baja pula tidak lagi yang biasa digunakan, kita gunakan smart fertilizer dengan vitamin, asid amino yang membolehkan pokok dan tanah mendapatkan rawatan sewajarnya.
“Selain itu, bagi teknologi pula, kita membantu mereka dalam menuai, mengurus ladang dan menggunakan Smart Plantation Management Solution termasuk penggunaan dron bagi memantau kebun, mengira pokok, melihat kesuburan serta mengawal penyakit hanya menerusi sistem,” katanya.
Tambahnya lagi, anjakan paradigma juga adalah menjadi perkara yang mustahak dan difokuskan kepada peneroka.
“Saya teruja sebenarnya melihat apabila kita dapat mengutip wang, iaitu peneroka memberi sedekah dalam program sedekah RM300 tahun ini dengan kutipan sebanyak RM9.7 juta dan duit ini diberikan kepada Majlis Agama Islam negeri masing-masing.
“Kalau dahulunya peneroka hanya mengharapkan duit raya, sekarang ini mereka sudah menjadi masyarakat pemberi, berdiri di atas kaki sendiri dan ini sudah berlaku,” katanya lagi.
Setiap tahun pada 7 Julai ialah Hari Peneroka Felda yang disambut oleh 11 wilayah termasuk 317 rancangan seluruh negara dan kali ini ia disambut secara maya dengan acara kemuncak, iaitu Anugerah Kecemerlangan Rancangan dan Tokoh Generasi.
AWANI Pagi: Anjakan Minda Peneroka
#Felda #Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan #syarikat Fortune Global 500 #Idris Jusoh #peneroka #Hari Peneroka #awani pagi #COVID-19 #perladangan #teknologi #Anugerah Kecemerlangan Rancangan #Tokoh Generasi
;