Felda kurangkan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil peneroka

Najib Aroff
Oktober 30, 2020 17:08 MYT
Idris menegaskan sawit kekal menjadi tanaman komoditi utama bagi Felda. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Felda akan mengurangkan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil kepada Peneroka bagi mengurangkan bebanan hutang mereka, kata Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh.
"Dahulu apabila kita tanam semula kelapa sawit, kita beri kepada peneroka pinjaman sara hidup kerana masa itu kelapa sawit masil kecil, peneroka perlukan bantuan sara hidup. Selepas itu kita berikan pinjaman pendahuluan hasil kerana hasil sawit masih kecil dan tidak mencukupi untuk menampung keperluan mereka.
"Jadi pinjamannya hampir RM1,000 sebulan untuk jangka masa 8 tahun. Jadi pinjaman peneroka mencecah sehingga RM96,000.
"Kini ada klon sawit yang baik. Klon ini akan berbuah apabila usia mencecah 30 bulan dan memberikan hasil 15 tan sehektar apabila usia mencecah 48 bulan, dan peneroka akan mendapat hasil mencukupi.
"Kerana model inilah Felda meminjam dengan instituasi kewangan untuk membayar pendahuluan hasil. kalau dahulu mereka pinjam 96 bulan, kini 48 bulan, daripada RM96,000 kepada RM48,000.
"Ini bebanan kepada Felda kerana Felda perlu mencari duit, dan juga bebanan kepada peneroka.
Cadangan itu merupakan salah satu inisiatif yang disenaraikan Pasukan Petugas Khas menangani masalah Felda bagi meningkatkan daya berdikari peneroka dan mengurangkan pinjaman mereka.
Selain itu, Felda juga akan memulakan program tanaman kontan secara besar-besaran terutama melibatkan tanah yang tidak sesuai dengan tanaman sawit.
"Kita mahu pastikan peneroka memperoleh pendapatan lumayan sebab itu kita mulakan Program Pembangunan Peneroka (PPP) ketika kita menerima bantuan di bawah kertas putih Felda.
"Ia akan dipergiatkan dengan tanaman kontan seperti nanas dan lain lain. Dari segi ruminan juga berkaitan ternakan kambing, lembu dan akuakultur ini akan Jamin peneroka menerima pendapatan lebih," katanya.
Bagaimanapun, Idris menegaskan sawit kekal menjadi tanaman komoditi utama bagi Felda.
#Felda #Pinjaman Sara Hidup #Pendahuluan Hasil #peneroka Felda #beban hutang #Idris Jusoh
;