Felda hasil ramai generasi kedua dalam bidang profesional

Bernama
September 4, 2017 10:49 MYT
Peranan yang dimainkan Felda bukan hanya meliputi generasi pertama, malah turut merangkumi generasi terkemudian walaupun tidak ditawarkan empat hektar tanah dan sebuah rumah seperti yang dinikmati generasi terdahulu. - AstroAWANI/ SHAHIR OMAR
Transformasi yang dialami masyarakat Felda sejak sekian lama telah berjaya melahirkan generasi yang cemerlang dalam kehidupan mereka dan kini berada di kelompok profesional dalam bidang masing-masing.
Antara generasi kedua Felda itu ialah Timbalan Pengarah Kolej Komuniti Jempol, Mohd Sabri Alias yang berkata ramai anak Felda yang berjaya menjadi juruterbang, doktor, peguam, jurutera, atlet dan tidak terkecuali pensyarah yang bilangan mereka semakin bertambah.
Katanya kejayaan yang dikecapi mereka bukan sahaja kerana kerja keras semata-mata malah turut dibantu Felda yang menyediakan pelbagai kemudahan antaranya kelas tuisyen dan bantuan Skim Intensif anak Felda ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.
Beliau berkata peranan yang dimainkan Felda bukan hanya meliputi generasi pertama, malah turut merangkumi generasi terkemudian walaupun tidak ditawarkan empat hektar tanah dan sebuah rumah seperti yang dinikmati generasi terdahulu.
"Apa yang saya lihat sejak dahulu hingga ke hari ini ialah kita dapat pelbagai manfaat contohnya seperti saham KPF (Koperasi Permodalan Felda) dan ia adalah antara saham yang terbaik di seluruh Malaysia di mana kita turut mendapat dividen dan bonus yang tinggi di KPF selepas Bank Rakyat dan Koperasi Tentera yang turut memberikan dividen dan bonus yang tinggi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Felda Lui Timur di sini.
Mohd Sabri juga turut mencadangkan kepada generasi kedua di seluruh rancangan Felda yang telah berjaya supaya mewujudkan alumni untuk membolehkan mereka menyumbang kembali kepakaran mereka kepada generasi Felda yang seterusnya.
"Sepatutnya pihak yang berwajib kena tengok kelebihan-kelebihan yang ada pada generasi kedua untuk kita buat alumni, untuk kita pula menyumbang kepada generasi ketiga dengan buat kelas tuisyen percuma, motivasi percuma, khemah ibadah dan sebagainya.
"Mana yang Felda sudah bagi pada generasi pertama itu, kita bagi balik apa yang boleh kepada generasi kedua dan ketiga. Macam di Lui Timur, telah ada alumni yang dianggotai oleh ahli dalam pelbagai kepakaran dan kita kumpulkan khusus untuk manfaat anak Felda Lui Timur itu sendiri," katanya.
Mengimbau kembali perjalanan kehidupannya di Felda, beliau berkata bapanya menyertai Felda Lui Timur pada 1979 dengan dibekalkan tanah seluas empat hektar dan sebuah rumah, namun pada ketika itu kesemua anak peneroka terpaksa melalui jarak perjalanan sejauh 39 kilometer untuk ke sekolah di Sekolah Kebangsaan Senaling, Kuala Pilah setiap hari.
"Kenderaan pada ketika itu seperti yang sedia maklum hanya di sediakan land rover dan kemudiannya dua buah van. Keadaan masa itu jalan raya masih lagi tidak berturap dan kita memakai pakaian persekolahan yang merah pada ketika itu dan memang ketika itu kita susah.
"Namun selepas itu barulah diwujudkan sebuah sekolah di Felda Lui Timur dan sudah tentu saya berasa gembira kerana tidak perlu lagi jauh berulang alik," katanya.
Mengulas mengenai enam insentif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sambutan Hari Peneroka 23 Julai lepas, beliau berkata ia merupakan hadiah sangat istimewa kepada golongan peneroka dan warganya.
"Berkaitan perumahan, saya nampak sangat terkesan kepada generasi kedua sebab sekarang ini kos rumah yang ada di bandar di mana dalam keadaan kalau gaji kita kecil, itu memang di luar kemampuan. Andai kata kita buat sebiji lagi rumah dengan kos yang diberi lebih kurang RM40,000 ke RM50,000, kita mampu buat rumah tiga bilik dan dua bilik air sebab tanah telah diberikan percuma.
"Jadi itu satu kelebihan yang saya nampak untuk generasi kedua untuk membuat rumah. Generasi kedua memang untung kerana jumlah kos yang diperlukan tidak sebesar sebagaimana rumah di bandar dan dengan kemudahan-kemudahan itu, generasi kedua kena ambil perhatian," katanya.
Enam insentif yang diumumkan Najib antaranya ialah dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan, insentif pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanaman semula melalui Felda melibatkan peruntukan keseluruhan RM519 juta.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Najib Tun Razak #Felda #generasi kedua #Mohd Sabri Alias #Perdana Menteri #profesional #Timbalan Pengarah Kolej Komuniti Jempol
;