Felda giat tangani isu kekurangan buruh, perkasa generasi baharu
Ehsan A Marisah
Jun 22, 2022 16:33 MYT
Jun 22, 2022 16:33 MYT
KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mempergiat usaha menarik lebih ramai golongan muda meneroka bidang perladangan bagi mengurangkan impak isu kekurangan tenaga buruh di negara ini.
Presiden Majlis Belia Felda Kebangsaan, Mohamad Fadzli Hassan berkata, pelbagai usaha telah dilakukan, antaranya dengan mengadakan kursus dron pilot pertanian bagi melatih anak peneroka terlibat dengan teknologi untuk digunakan dalam kerja-kerja perladangan.
Katanya, kursus itu kini diteruskan memasuki siri kedua yang dianjurkan bersama Yayasan Felda.
“Kerja-kerja di ladang ini memerlukan teknologi dan mekanisasi supaya dapat memudahkan kerja dan menarik minat orang muda untuk melakukannya.
“Oleh itu, penggunaan mekanisasi ini amat penting supaya dapat membantu meringankan kerja di ladang. Justeru, kami sering bekerjasama dengan agensi kerajaan dan Felda untuk meneroka bidang ini.
Beliau berkata demikian dalam program AWANI Pagi: Memperkasa generasi baharu Felda, pada Rabu.
Sementara itu, Presiden Kami Anak Felda, Fakhrurrazi Mohd Habib berkata, Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang diadakan telah menerima sambutan baik daripada generasi baharu.
“Kita menyasarkan dalam setiap 112,638 keluarga peneroka akan terlibat. Ketika ini, jumlah penglibatan khususnya anak-anak generasi hampir 60,000 peserta terlibat sama ada secara plasma (individu) atau koperasi.
“Saya juga mohon kami (belia) diberikan fokus kepada projek-projek plasma seperti dilakukan di Thailand dan Indonesia kerana mampu melahirkan mereka yang dari penternak dan petani menjadi usahawan.
Katanya, Felda juga sedang giat membantu generasi baharu untuk menjadi offtaker supaya tiada masalah pasaran bagi pengeluaran daripada projek ini. Ini sekali gus membantu menyokong dasar sekuriti makanan negara.
“Ini juga menjadi salah satu faktor untuk menarik anak-anak generasi dalam bidang pertanian dan penternakan untuk menjamin sekuriti makanan negara.
“Maka, dengan adanya pendedahan dan jaminan yang diberikan Felda ini, ia membolehkan anak muda mengambil semula hasil. Ini akan menjadi satu rantaian yang cukup baik kerana dapat mengelakkan daripada berlakunya kawalan daripada kartel melibatkan harga dan permintaan.
“Justeru, perkara sebegini perlu diberikan penekanan supaya anak-anak generasi Felda dapat bersama menjayakan bidang ini,” katanya lagi.