Felda berperanan pastikan sektor sawit negara tidak senasib getah
Bernama
Februari 6, 2024 13:55 MYT
Februari 6, 2024 13:55 MYT
KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mempunyai peranan penting dalam memastikan kelestarian industri sawit Malaysia supaya dapat mengelakkan nasib seperti yang menimpa sektor getah negara dan tidak berulang, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata menerusi pemilikan tanah perladangan terbesar seluas 800,000 hektar di Malaysia, Felda perlu memanfaatkan sepenuhnya kekuatannya dengan meningkatkan pengeluaran dan menumpukan sektor hiliran.
"Cuba bayangkan, jika kita tidak terlibat dalam industi hiliran selama 15 hingga 30 tahun akan datang. Saya tidak mahu melihat industri sawit yang dikendalikan oleh Felda ini menjadi senasib seperti getah.
"Pada satu ketika, kita ialah pengeluar getah terbesar di dalam dunia. Hari ini, kita menjadi pengeluar produk getah yang utama tetapi kita mengimport getah asli dari Vietnam dan Thailand kerana perlu memenuhi permintaan industri dan jika tidak (import), kita tidak cukup getah, tetapi yang anehnya, kita ada 420,000 hektar (penanaman) pokok getah yang melibatkan 290,000 pekebun kecil," katanya dalam ucaptama di Simposium Felda 2024 di sini, pada Selasa.
Beliau berkata pada 2013, Malaysia mengeluarkan 19.5 juta tan sawit manakala Indonesia menghasilkan 26 juta tan namun dalam tempoh 10 tahun, pengeluaran negara menurun kepada 18.5 juta pada 2023 dan negara jiran itu terus meningkatkan hasil kepada 46.5 juta.
Johari berkata Indonesia menggunakan separuh hasil sawitnya untuk pengeluaran biodiesel manakala Malaysia mengeksport 15 juta tan ke pasaran dunia.
Justeru, beliau menekankan amat penting untuk Felda menggembleng aset tanah dan infrastruktur lengkap miliknya dengan sebaik mungkin.
Felda digesa untuk meningkatkan hasil tandan buah segar (TBS) ke tahap lebih tinggi berbanding 16.49 tan sehektar pada 2023, memandangkan para peserta sawit utama negara menghasilkan anggaran 20 tan TBS sehektar, katanya.
Beliau memberi contoh, jika Felda dapat menghasilkan 18 tan TBS sehektar, hasil keseluruhan akan meningkat kepada 14.4 juta TBS dan agensi itu boleh menjadi pengeluar terbesar dengan 2.8 juta tan minyak sawit mentah (MSM).
"Bayangkan, jika harga sawit RM4,000 satu tan dan anggaran kos adalah RM3,000, kita untung RM1,000. Secara keseluruhan, kita akan untung RM2.8 bilion.
"Jadi, kita perlu belajar daripada kejayaan Felda dahulu dan kita susun strategi untuk 20 hingga 30 tahun akan datang, saya percaya jika kita pandai mengolah tanah 800,000 hektar milik Felda ini, satu hari nanti generasi yang kelima atau seterusnya akan berbangga menjadi sebahagian daripada Felda," katanya.
Johari juga memberi bayangan bahawa Felda dapat menjadikan para peneroka sebagai pengendali penuh aset mereka sehinggalah kepada pengeluaran hiliran dengan menyusun semula tanah rancangan itu menjadi kluster yang besar.
"Jadi, kelapa sawit ini sangat penting kepada negara. Jika Felda mahu menjalankan tanggungjawab sosial, sektor ini hanya mampan jika dapat membuat keuntungan yang besar. Tidak ada (syarikat) yang boleh membuat sumbangan sosial untuk masyarakat kalau tidak menjana pendapatan," katanya.
-- BERNAMA