FB live terakhir sebelum anak lemas
Sinar Harian
September 5, 2018 23:02 MYT
September 5, 2018 23:02 MYT
Seorang bapa tidak menyangka rakaman Facebook Live (FB live) aksi riang anak tunggalnya sewaktu bermandi-manda di taman tema air di Pesta Zoo Belon, Dataran Alamanda di sini 2 September lalu berakhir dengan tragedi.
Lebih menyedihkan, pemergian Nur Rabiatul Adawiyah Md Yusof, 7, dari Kampung Sungai Burung, Tanjung Piandang di sini yang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh awal pagi tadi berlaku selepas kanak-kanak itu bersungguh-sungguh mengajak ibu bapanya pergi ke pesta itu.
Bapa mangsa, Md Yusof Che Yon, 43, berkata, pada 31 Ogos lalu, anak tunggalnya menerima risalah yang turut tertera kupon potongan harga dan promosi taman tema air yang diadakan sempena program Pesta Zoo Belon di Pusat Bandar Parit Buntar.
Menurutnya, selepas menerima kupon promosi itu, mangsa bersungguh-sungguh mengajak dirinya dan isteri pergi ke sana.
"Pada pagi 2 Sept lalu, barulah saya dan isteri bersetuju mengajaknya pergi ke pesta itu pada waktu petang dan arwah menunjukkan wajah yang sungguh gembira sebaik diberitahu hajatnya dipenuhi kami.
"Pada hari sama, arwah juga menunjukkan keterujaan luar biasa apabila sempat memakai telekung solat milik isteri dan peluk saya serapat-rapatnya beberapa kali sambil mengucapkan terima kasih.
"Tabiat luar biasa arwah pada mulanya mengejutkan saya, namun memikirkan dia mungkin terlalu gembira dapat bermain di Pesta Zoo Belon, saya tidak memikirkan perkara bukan-bukan," katanya sewaktu dihubungi media di sini pada Rabu.
Md Yusof berkata, setibanya dia dan keluarga di lokasi pesta sekitar jam 5.30 petang, dia sempat bergambar dan membuat rakaman siarang langsung FBLive sewaktu mangsa sedang girang bermain air di taman tema air pesta tersebut.
Menurutnya, sejurus selesai membuat rakaman, dia pergi meninjau premis niaga lain yang terdapat di tapak pesta itu, manakala urusan pemantauan Nur Rabiatul Adawiyah diserahkan kepada isteri dan ibu mentua.
"Tidak sampai 10 minit meronda gerai niaga, saya terdengar suasana kecoh berlaku di taman tema air dan sekembali ke lokasi itu, saya terkejut melihat isteri menangis memberitahu Nur Rabiatul Adawiyah lemas.
"Kami kemudiannya mengiringi penganjur pesta yang membantu membawa anak saya ke Hospital Parit Buntar untuk mendapatkan rawatan, sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Pemaisuri Bainon, Ipoh bagi pemeriksaan lanjut," katanya.
Md Yusof berkata, sewaktu Nur Rabiatul Adawiyah menerima rawatan, doktor bertugas memaklumkan paru-paru anak tunggalnya sudah dimasuki air dan turut memberi kesan kepada otak.
"Sekitar jam 2 pagi tadi, doktor memberitahu keadaan anak lemah dan jantungnya pula bermasalah.
"Lebih kurang jam 2.45 pagi, doktor memaklumkan anak saya sudah tiada dan berita itu amat memilukan perasaan kami sekeluarga kerana tidak sangka bakal kehilangan anak tunggal dalam tempoh masa singkat," katanya.
Md Yusof berkata, jenazah Nur Rabiatul Adawiyah disembahyangkan pada jam 2 petang tadi di Masjid Jamek Sungai Burung dan seterusnya dikebumikan di tanah perkuburan masjid itu.
Di sebalik tragedi malang berlaku, Md Yusof menegaskan dia tidak menyalahkan penganjur Pesta Zoo Belon, sebaliknya memuji tindakan pantas individu itu bergegas membawa anaknya mendapatkan rawatan sejurus kejadian berlaku.
"Tindakan penganjur program pesta itu sekurang-kurangnya membolehkan kami melihat Nur Rabiatul Adawiyah untuk beberapa hari sebelum dijemput mengadap Ilahi," katanya.
Sementara itu, berita tragedi malang membabitkan Nur Rabiatul Adawiyah turut mendapat perhatian Exco Kerajaan Negeri yang juga ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim serta ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.
Dalam hantaran Facebooknya, Hasnul Zulkarnain memaklumkan turut berkesempatan menziarahi mangsa semalam di Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh semalam.
"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Md Yusof di atas pemergian allahyarham Nur Rabiatul Adawiyah awal pagi ini dan berharap mereka tabah menerima berita sedih ini," katanya.