FB Live mengenai darurat: Aziz Bari beri keterangan kepada polis
Abd Razak Mohd Ali
Februari 24, 2021 19:44 MYT
Februari 24, 2021 19:44 MYT
IPOH: Naib Pengerusi DAP Perak, Abdul Aziz Bari dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Lahat di sini hari ini dipercayai berkaitan isu darurat dan Yang di-Pertuan Agong yang disiarkan secara langsung di laman Facebook miliknya bulan lalu.
Dia dipanggil polis untuk memberi keterangan bermula jam 11.45 pagi dan selesai kira-kira 1 tengah hari.
Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi mengakui siasatan polis itu berkaitan isu darurat dan Yang di-Pertuan Agong yang disiarkan secara langsung di laman Facebooknya bulan lalu.
"Apa yang boleh saya katakan adalah ia berkaitan isu Yang di-Pertuan Agong dan darurat yang pernah saya bincangkan sebelum ini melalui 'FB Live'.
"Saya rasa ada pihak yang tidak selesa dengan apa yang saya cakap sebelum ini dan cuba dijadikan bahan laporan yang diambil di luar konteks dan saya dianggap sebagai mahu melagakan institusi Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan di Balai Polis Lahat di sini hari ini.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu berkata, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, termasuk kemungkinan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara bagi pendakwaan.
"Saya akur dan sedia beri kerjasama. Setakat ini hanya saya yang dipanggil berkaitan isu ini, yang lain saya tidak tahu tetapi yang pasti siasatan dibuat mengikut Kanun Tatacara Jenayah," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Abdul Aziz mungkin berdepan tindakan polis berhubung kenyataannya itu ekoran terdapat laporan polis dibuat terhadapnya.
#Naib Pengerusi DAP Perak
#abdul aziz bari
#Yang di-Pertuan Agong
#Facebook
#beri keterangan kepada polis
#ADUN Tebing Tinggi
#darurat
#DAP
#siasatan