Fatwa vaksin COVID-19: Kerajaan masih tunggu perkenan Agong

Bernama
Disember 10, 2020 10:37 MYT
Zulkifli (kanan) hadir pada majlis menyampaikan sumbangan Yadim kepada penghantar makanan, pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan, di Putrajaya, hari ini. - Facebook Zulkifli Mohamad Al-Bakri
PUTRAJAYA: Kerajaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja berhubung fatwa penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai fatwa vaksin COVID-19 itu telah dipersembahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas mesyuarat muzakarah berkenaan minggu lepas.
"Selepas mendapat perkenan dan persetujuan, kita akan uar-uarkan sebab fatwa ini bukan untuk disembunyikan. Kita ikut tertib-tertibnya," katanya selepas menyampaikan 80 pek bantuan sumbangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kepada penghantar makanan, pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan, di sini hari ini.
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas itu bersidang pada 3 Dis lepas bagi membincangkan isu berkenaan sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja.
Pada majlis hari ini, Zulkifli turut melancarkan Bilik Gerakan Bencana Banjir Yadim yang diwujudkan bagi menyelaras usaha membantu mangsa yang terjejas akibat bencana itu.

Menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada penghantar makanan e-hailing sekitar Putrajaya. Turut hadir YDP YADIM, YBhg. Ustaz Nasrudin Hassan dan CEO YADIM, YBhg. En. Tuan Kamarul Arif Tuan Soh. Saya sokong sepenuhnya anak muda Muslim yang menceburi #enonomigig. pic.twitter.com/j2qgTTvbeo

— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) December 10, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam ucapannya, beliau meminta Yadim untuk memohon bantuan sebanyak RM500,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) di bawah bantuan asnaf sebagai tambahan kepada peruntukan sedia ada.
Zulkifli juga berkata, walaupun usaha membantu mangsa banjir diselaraskan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), namun inisiatif Yadim dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain dapat membantu kerajaan menggerakkan penyampaian bantuan kepada golongan yang memerlukan.
"Saya juga mahu kolaborasi dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang arif mengenai banjir. Kalau boleh kita belajar daripada pengalaman mereka," katanya.
-- BERNAMA
#sumbangan #penghantar makanan #Al-Sultan Abdullah #Yang di-Pertuan Agong #fatwa #kerajaan #vaksin #Zulkifli Mohamad Al-Bakri #COVID-19 #YADIM #Jawatankuasa Muzakarah Khas #Islam #banjir #bantuan asnaf #mangsa banjir #NGO
;