Fatwa tidak bercanggah dengan konsep Bangsa Johor - Sultan Ibrahim
Sinar Harian
Februari 3, 2023 18:16 MYT
Februari 3, 2023 18:16 MYT
SHAH ALAM: Sultan Johor bertitah, fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) berkenaan garis panduan umat Islam menghadiri upacara perayaan masyarakat bukan Islam tidak bercanggah dengan konsep Bangsa Johor.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, fatwa berkenaan yang diumumkan pada Khamis tidak menjejaskan sama sekali konsep Bangsa Johor yang mengamalkan toleransi, persefahaman dan perpaduan.
"Fatwa berkenaan hanya melarang umat Islam terlibat atau mengambil bahagian dalam sebarang upacara ritual bukan Islam. Ini adalah garis panduan untuk umat Islam, mereka masih boleh hadir majlis dan perayaan agama lain.
"Agama lain juga mesti menghormati sensitiviti umat Islam. Ini bersifat dua hala. Kita mesti sensitif terhadap perintah dan larangan agama masing-masing untuk hidup bersama-sama," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO), pada Jumaat.
Baginda bertitah, semua agama menekankan nilai-nilai murni seperti belas kasihan, hormat-menghormati, toleransi, kesederhanaan serta kebaikan dan rakyat Malaysia harus memberi tumpuan kepada nilai-nilai kebersamaan itu dan bukannya perbezaan kaum atau agama.
"Saya harap dengan penjelasan ini, kita dapat menghentikan sebarang kekeliruan mengenai fatwa baharu ini kerana ia hanya menjelaskan perkara yang dibenarkan kepada umat Islam dan dilarang dalam Islam.
"Jika kamu masih keliru, sila berjumpa Mufti Negeri Johor untuk penjelasan lanjut," titah Sultan Johor lagi.
Pada Khamis, Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid mengumumkan fatwa berkenaan yang bermula minggu depan.
Menurut Mohd Fared, berdasarkan fatwa itu nanti masyarakat Islam dibenarkan memenuhi undangan majlis keraian sesuatu perayaan bukan Islam tetapi namun tidak terlibat dengan sebarang upacara atau ritual yang berkait dengan amalan agama tersebut.
Kata Mohd Fared, umat Islam yang melanggar garis panduan tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
Menurut Mohd Fared, empat garis panduan tersebut adalah perkara, perbuatan atau perkataan yang bertentangan dengan akidah Islam; bertentangan dengan syarak; bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya serta menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.
"Antara contohnya termasuklah meletakkan tanda berciri agama di dahi atau anggota tubuh lain; memberi pujian kepada agama bukan Islam; memakai pakaian santa claus; percampuran tanpa batas; berpakaian mencolok mata serta membuat ucapan yang berbentuk dakyah atau menghina agama Islam," jelas beliau. -- Sinar Harian