Fatwa GISB menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar diwartakan - MAIS
Bernama
Oktober 18, 2024 15:20 MYT
Oktober 18, 2024 15:20 MYT
SHAH ALAM: Fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ahli Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd dan rangkaiannya yang difatwakan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar telah diwartakan dan disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor, Rabu lepas.
Ringkasan AI
- Fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ahli Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd dan rangkaiannya telah difatwakan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar dan diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor.
- Orang Islam di Selangor dilarang untuk beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebarkan, mengembangkan dan menyokong ajaran GISB.
- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama agensi kerajaan negeri merangka pelan tindakan pemulihan akidah kepada pengikut GISB, termasuk perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah melalui proses istitabah (bertaubat) dan kaunseling.
Berdasarkan fatwa yang diwartakan itu, mana-mana orang Islam di Selangor dilarang dan dibatalkan untuk beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebarkan, mengembangkan dan menyokong fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISB dan rangkaiannya.
Larangan itu termasuk apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan lain yang mempunyai persamaan dengan amalan GISB yang telah diharamkan itu.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata selaras dengan pewartaan fatwa tersebut, masyarakat di negeri itu dinasihatkan supaya menghormati dan tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan fatwa yang diwartakan.
"Mana-mana individu yang bertindak mengingkari, melanggar atau mempertikaikan fatwa yang telah diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah perenggan 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berhubung pemulihan akidah terhadap mereka yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan, Abdul Aziz berkata MAIS bersama agensi kerajaan negeri termasuk agensi hal ehwal Islam Selangor merangka dan menggerakkan pelan tindakan pemulihan kepada pengikut GISB termasuk kanak-kanak dan orang dewasa.
Beliau berkata proses pemulihan akan dilaksanakan meliputi perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah termasuk melalui proses istitabah (bertaubat) dan kaunseling.
Abdul Aziz berkata MAIS juga menyatakan sokongan yang padu terhadap program rehabilitasi secara sukarela yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada pengikut atau ahli GISB dan rangkaiannya baru-baru ini.
Program berkenaan, katanya selaras dengan fatwa yang diwartakan dan dalam hal itu, pengikut atau ahli GISB dan rangkaiannya dialu-alukan untuk hadir secara sukarela bagi tujuan pemulihan tersebut.
Beliau turut menyatakan komitmen MAIS dan agensi Islam di Selangor untuk bekerjasama dan memberi bantuan dari aspek tenaga kerja, kewangan, fasiliti dan kemahiran sebagai sokongan terhadap program pemulihan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISB dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.
Dalam kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office memaklumkan hal ini kerana pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISB diyakini masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung, dibawa oleh Kumpulan Darul Arqam yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar menurut Warta No 54 yang disiarkan pada 4 Feb 1993.
-- BERNAMA