Fatwa berkaitan GISB akan diwarta dalam masa terdekat - Exco Selangor

Bernama
Oktober 7, 2024 17:02 MYT
Mohammad Fahmi berkata, keputusan tersebut akan dibawa untuk perbincangan dan tindakan MMKN sebelum diserahkan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi proses pewartaan. - Bernama
SHAH ALAM: Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang menfatwakan amalan dan kepercayaan kumpulan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd sebagai menyeleweng daripada akidah Islam sebenar dijangka akan diwartakan dalam masa terdekat.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Mohammad Fahmi Ngah berkata, keputusan tersebut akan dibawa untuk perbincangan dan tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum diserahkan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi proses pewartaan.
"Prosesnya tidak lama. Kita akan angkat isu ini menerusi MMKN dan kalau semua ahli (MMKN) bersetuju, ia seterusnya akan melalui Penasihat Undang-Undang Negeri untuk pewartaan fatwa (bagi dikuatkuasakan).
"Selepas itu ia akan diwartakan menjadi enakmen kerajaan negeri dan akan dibawa (sebagai usul) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam jangka masa terdekat ini," katanya ketika ditemui pemberita di Festival Inovasi Selangor (FIS) 2024 di sini hari ini.
Pada Khamis lepas (3 Okt), Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan fatwa terkini yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISB dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar
Ini kerana pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISB diyakini masih mengamalkan Aurad Muhammadiah, atau Zikir Agung, dibawa oleh Kumpulan Darul Arqam yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar menurut Warta No 54 yang disiarkan pada 4 Feb 1993.
Dalam pada itu, Mohammad Fahmi berkata semua rangkaian perniagaan GISB di Selangor akan dihentikan dan ditutup selepas fatwa berkenaan dikuatkuasakan, dan percaya tindakan tersebut tidak memberi kesan kepada ekonomi orang Melayu seperti dipertikaikan sesetengah pihak.
"Jangan kita menggembar-gemburkan seolah-olah kumpulan ini sahaja punca ekonomi orang Melayu. Saya tidak faham bagaimana rakyat boleh terima cara penjanaan ekonomi mereka kerana berlakunya penyiksaan, penderaan kanak-kanak dan pengasingan suami isteri.
"Pekerja juga tidak dibayar gaji malah GISB tidak pernah membayar cukai dan zakat. Kita kena faham perkara ini dan kerajaan negeri tidak akan berkompromi," katanya.
-- BERNAMA
#GISB #Selangor #Jawatankuasa Fatwa Negeri #akidah islam #seleweng
;