Fatwa anti Syiah bakal digezetkan di Kedah

Astro Awani
Julai 21, 2013 15:17 MYT
Fatwa anti Syiah yang bakal digezetkan di Kedah akan dikenakan terhadap mereka yang cuba mengembangkan fahaman tersebut di negeri itu.
Tegas Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Mahathir tindakan tersebut bagi mengekang pengikut Syiah dari terus menyebar fahaman tersebut terhadap orang Islam yang rata-rata mengikut fahaman ahli Sunnah Wal Jamaah.
Menurut beliau jika seseorang itu berfahaman Syiah sejak kecil seperti orang Iran ianya tidak menjadi masalah asalkan tidak menyebarkan fahaman tersebut di negeri ini.
“Sebenarnya saya nak buat perbandingan atau penjelasan mengenai tindakan dengan apa yang dimaksudkan ialah kita tak soal pada seseorang itu dari lahir lagi berada didalam Syiah. Namum menjadi pertikaian sekarang ni adalah sekiranya mereka-mereka yang menyumbangkan fahaman Syiah ini cuba untuk mempengaruhi umat Islam di negeri Kedah yang rata-ratanya dari kalangan ahli Sunnah Wal Jamaah,” kata Mukhriz.
Mukhriz berkata fatwa yang menolak ajaran Syiah telah diwartakan pada tahun 1998 dan tiada enakmen yang sesuai menyebabkan mereka (orang yang sebar Syiah) tidak dikenakan tindakan undang-undang.
Khamis lepas, kerajaan negeri Kedah mengumumkan untuk menggazetkan fatwa anti Syiah bagi mengekang penyebaran ajaran itu dalam kalangan rakyat terutamanya umat Islam berfahaman Sunnah di negeri ini.
Tindakan itu bagaimanapun mendapat reaksi negatif pergerakan Islam dikenali sebagai As-Sajjad yang menyifatkan tindakan kerajaan negeri mahu mewartakan fatwa anti Syiah dan mengharamkan Taifah Syiah sebagai mencabuli hak asasi manusia.
Mukhriz yang ditemui ketika turun padang untuk melawat sebuah asrama Maahad Tahfiz di Tikam Batu yang terbakar 15 Julai lalu yang turut mengorbankan seorang pelajarnya berusia 13 tahun.
Pada majlis tersebut Mukhriz turut menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM10,000 kepada Maahad tersebut dan turut menyampaikan sumbangan kepada 20 pelajar tahfiz.
#Datuk Mukhriz Tun Mahathir #Sunnah Wal Jamaah #Syiah
;