Fatimah Abu Bakar seru golongan berusia ambil vaksin, jangan khuatir
Eton Khir
Mei 27, 2021 16:31 MYT
Mei 27, 2021 16:31 MYT
KUALA LUMPUR : Fatimah Abu Bakar atau lebih mesra disapa Cikgu Fatimah, ibu kepada pelakon popular Sharifah Amani, menyeru orang ramai dan terutamanya golongan berusia untuk mengambil vaksin.
Pelakon veteran itu yang turut telah divaksin pada 18 Mei lepas, turut berharap agar rakyat Malaysia tidak khuatir dengan momokan dan omong kosong mengenai implikasi bahaya vaksin COVID-19.
"Lebih baik kita ambil vaksin sebab ia boleh kuatkan badan kita untuk melawan COVID-19. Jika tidak, kita hanya bakal membahayakan diri kita apabila dijangkiti virus ini. Mak saya sendiri yang pada tahun ini berusia 87 tahun, walau dalam kerisauannya, tetap mengambil vaksin dan telah pun melengkapkan dua dos vaksin," ulas Fatimah ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
"Mak saya kata, pilihlah, kita nak takut pada COVID-19 ataupun takut pada doktor mahupun saintis yang telahpun melakukan kerja mereka dalam mengkaji vaksin. Mereka sendiri telahpun memberi lampu hijau agar rakyat boleh untuk mengambil vaksin ini. Vaksin ini akan memberi imuniti kepada tubuh badan kita agar boleh melawan virus jahat itu," katanya lagi.
Fatimah turut menambah, golongan berusia atau warga emas tidak perlu khuatir akan status halal vaksin yang diterima, seperti yang sering menjadi persoalan mereka.
"Golongan ini juga haruslah sentiasa prihatin dalam menjaga kesihatan diri kerana diklasifikasikan sebagai golongan yang berisiko bagi virus COVID-19," ujarnya.
#Fatimah Abu Bakar
#vaksin
#program vaksinasi
#golongan berisiko
#warga emas
#orang berusia
#COVID-19
#media sosial
#selebriti