Fast food! Juadah paling banyak dipesan melalui GrabFood pada 2020, 2021

Astro Awani
Oktober 29, 2021 16:42 MYT
Pesanan makanan berasaskan ayam pula merupakan juadah yang paling banyak dipesan pada waktu tengah hari dengan lapan juta pesanan direkodkan pada 2020. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Makanan segera atau ‘fast food’ merupakan juadah yang paling banyak dipesan melalui aplikasi Grab pada tahun 2020 dan 2021.
Dapatan itu diperoleh melalui GrabFood Food Trends Report yang dibentangkan Ketua Bahagian Komersial Grab Malaysia, Tan Jiong Jian pada Jumaat.
Selain makanan segera, pizza, bubble tea, sushi, kek, burger, teh, kopi, pencuci mulut dan ayam juga termasuk dalam senarai 10 makanan yang paling banyak dipesan di Malaysia.
Bahkan, pesanan makanan berasaskan ayam pula merupakan juadah yang paling banyak dipesan pada waktu tengah hari dengan lapan juta pesanan direkodkan pada 2020.
“Terdapat hampir lapan juta pesanan berasaskan ayam pada waktu makan tengah hari sepanjang 2020 di platform kami. Bercakap soal makan tengah hari, apa yang kami lihat, pesanan semasa makan tengah hari berkembang sedikit.
“Saya fikir kerana pandemik dan peraturan WFH (bekerja dari rumah). Apa yang kami lihat ialah, pengguna secara purata membelanjakan RM17 hingga RM19 untuk makan tengah hari mereka, termasuk penghantaran.
“Oleh itu, satu tip yang perlu dipertimbangkan adalah menyediakan makanan berbentuk ‘bundle meal’ berharga sehingga RM17 untuk pelanggan,” katanya dalam pembentangan secara maya kepada media pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan sekiranya pengusaha berhasrat untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui aplikasi Grab, mereka perlu memasukkan juadah tersebut dalam menu mereka.
Beliau turut berkongsikan satu lagi tip untuk membantu usahawan mendapatkan lebih banyak jualan menerusi platform disediakan Grab Malaysia.
Minuman paling popular untuk menemani makan tengah hari ialah teh susu (milk tea).
“Jadi tip lain adalah, jika anda menyediakan bungkusan makanan tengah hari, pertimbangkan untuk menambah teh susu sebagai tambahan untuk melengkapkan hidangan kepada pelanggan,” ujarnya.
Tambahnya, peniaga juga perlu memikirkan cara untuk menjadikan makanan mereka mudah dimakan dan mudah juga untuk dibersihkan.
Jelasnya, lazimnya waktu tengah hari adalah waktu yang sangat sibuk dan pelanggan lebih cenderung memilih makanan yang mudah untuk diuruskan.
Sementara itu, menerusi kajian itu lagi, Grab Malaysia mendapati pesanan makanan pada waktu sarapan meningkat dengan sangat mendadak pada 2020 dan 2021.
“Jumlah pesanan dilihat agak banyak pada jam 9 pagi ke 10 pagi. Satu lagi tip, kalau nak dapatkan lebih banyak pesanan, anda perlu mula sediakan makanan sebelum jam 9 pagi.
“Teh dan kopi juga merupakan pesanan popular, perkembangan enam kali ganda pada 2020. Roti canai dan nasi lemak pula merupakan menu yang popular untuk sarapan,” ujarnya.
#Grabfood #makanan segera #pesan makanan #Ayam
;