Fasiliti pintu platform automatik pastikan keselamatan penumpang monorel - Loke
Madiha Abdullah
November 26, 2024 18:00 MYT
November 26, 2024 18:00 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas lebih 20 tahun beroperasi, perkhidmatan Monorel Kuala Lumpur kini ditambah baik dengan fasiliti sistem Pintu Platform Automatik (PAGS) yang akan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Ringkasan AI
- Perkhidmatan Monorel Kuala Lumpur kini ditambah baik dengan sistem Pintu Platform Automatik (PAGS), yang akan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
- PAGS telah beroperasi sepenuhnya di stesen KL Sentral dan Tun Sambanthan, dan akan beroperasi di empat stesen lain pada akhir bulan ini, manakala selebihnya pada penghujung Disember.
- Kerja penyelenggaraan eskalator dan lif di semua stesen monorel akan siap menjelang April tahun depan, dan Prasarana akan menerima tiga koc baharu tahun depan untuk mengurangkan masa menunggu pada waktu puncak.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ketika ini PAGS telah beroperasi sepenuhnya di dua stesen, iaitu stesen KL Sentral dan Tun Sambanthan.
Katanya, PAGS di empat stesen iaitu Maharajalela, Hang Tuah, Imbi, dan Bukit Bintang akan beroperasi akhir bulan ini, manakala selebihnya akan beroperasi penghujung Disember.
“Sejak saya memegang jawatan sebagai menteri, banyak aduan yang saya terima. Sudah banyak berlaku insiden dari 2017 sehingga 2024, iaitu sebanyak 10 insiden berlaku.
“Dalam dua tahun ini saja, sudah lima kali berlaku insiden di mana penumpang jatuh ke trek kerana tak ada pintu yang menghalang di antara pintu dan gerabak.
“Ada penumpang yang menunggu di platform, kadang-kadang dia terlalu fokus pada telefon, dia ingat tren sudah sampai dan jatuh ke trek.
“Di stesen KL Sentral umpamanya, ramai penumpang OKU seperti orang buta, mereka memerlukan panduan untuk turun naik gerabak,” kata Loke.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau status kerja menambah baik fasiliti laluan Monorel Kuala Lumpur di Stesen Monorel Titiwangsa, pada Selasa.
Tambahnya, untuk tujuan itu, kerajaan memperuntukkan RM6.81 juta bagi kerja penambahbaikan kesemua 11 stesen monorel di ibu negara.
PAGS direka agar beroperasi selari dengan pergerakan pintu tren, dengan tambahan tiga pintu kecemasan serta skrin tetap di hujung platform untuk memperkukuh aspek keselamatan.
Sementara itu, Loke turut memaklumkan kerja penyelenggaraan eskalator dan lif di semua stesen monorel akan siap menjelang April tahun depan.
Ia melibatkan kos sebanyak RM10 juta.
Prasarana juga akan menerima tiga koc baharu tahun depan, sekali gus membolehkan masa menunggu pada waktu puncak dikurangkan daripada tujuh minit kepada lima minit.