Fasa satu kompleks ternakan ayam Felcra siap sepenuhnya Februari depan
Bernama
Oktober 27, 2023 15:02 MYT
Oktober 27, 2023 15:02 MYT
ROMPIN: Fasa satu projek kompleks ternakan ayam pedaging berskala besar secara sistem tertutup di Tanjung Seratus di sini, yang meliputi 10 reban dijadualkan siap sepenuhnya pada Februari tahun depan.
Pengerusi Felcra Berhad Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata pembinaan projek di bawah agensi itu yang melibatkan kawasan seluas 20.6 hektar itu, setakat ini berada pada tahap 60 peratus siap, namun sudah beroperasi secara percubaan dengan dua pusingan tuaian hasil.
"Kita bermula sejak 30 Julai lepas dan sudah melepasi pusingan kedua dan akan memasuki pusingan ketiga pada 2 Nov ini, yang bermaksud projek ini telah mengeluarkan 60,000 ekor ayam pedaging.
"Walaupun jumlah pengeluarannya masih sedikit, kita berjaya membantu membekalkan ayam pada program anjuran agensi kerajaan seperti Jualan Rahmah pada harga murah," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat kompleks ternakan itu hari ini.
Ahmad Jazlan berkata pihaknya menyasarkan untuk memaksimumkan pengeluaran ayam pedaging menerusi projek ini dengan penambahan 10 reban lagi pada fasa kedua selain menggunakan sepenuhnya tingkat atas dan bawah reban yang ada.
Pendekatan itu, menurut beliau penting bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap ayam pedaging di dalam negara yang masih belum mencukupi.
Projek itu apabila siap sepenuhnya dijangka dapat melaksanakan lima pusingan ayam setahun iaitu sebanyak 300,000 ekor ayam bagi satu pusingan atau 1.5 juta ekor setahun, yang dilihat masih ada potensi untuk ditingkatkan jumlah pengeluaran hasil.
"Matlamat kita adalah untuk membantu rakyat selain menjadi cabang perniagaan Felcra sendiri untuk mencari pendapatan dan dalam masa sama, turut memenuhi keperluan masyarakat jika ada kawasan terdesak mendapatkan bekalan ayam pedaging," katanya.
Ahmad Jazlan berkata cara penternakan moden yang digunakan dalam projek itu turut menyumbang kepada kadar kematian ayam pedaging yang amat rendah iaitu dua peratus berbanding lazimnya tiga peratus.
Projek ternakan berskala besar di Rompin merupakan antara empat projek mega ternakan ayam pedaging secara tertutup yang dilaksanakan oleh Felcra Berhad di kawasan luar bandar, selain di Sungai Damak, Lipis di Pahang; Padang Terap, Kedah dan Paloh 4 Gua Musang, Kelantan.
Selain reban ayam, projek itu yang dilancarkan Ogos tahun lepas juga dilengkapi pejabat pentadbiran, rumah staf dan surau.
-- BERNAMA