Fasa pertama Litar Pasir Gudang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun - Tunku Abdul Rahman
Bernama
April 19, 2024 06:00 MYT
April 19, 2024 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim menjangkakan fasa pertama 'Johor Circuit' di Litar Pasir Gudang siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
Tunku Abdul Rahman berkata apabila siap sepenuhnya, ia bakal menjadi gelanggang rasmi bagi pasukan permotorannya, Triple Eight Johor Motorspors Racing (JMR).
"Insya-Allah, saya rasa fasa pertama lebih kurang dua ke tiga tahun sebab banyak lagi kita nak tambah baik sebab trek itu dibuat pada tahun 80-an, jadi kita kena ikut peraturan di bawah Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
"Itu sebab kita tutup trek, tak buka untuk elak kemalangan, untuk keselamatan rakyat, kita ambil alih. Setakat ini, semestinya untuk JMR, perancangan utama memang untuk berpangkalan di situ," katanya kepada pemberita di Litar Antarabangsa Sepang dekat sini pada Jumaat.
Beliau berkata pembangunan Litar Pasir Gudang, yang dibuka pada 1986 dan ditutup pada 2017, tergendala disebabkan oleh banyak faktor termasuk pandemik COVID-19.
Tunku Abdul Rahman turut merancang menubuhkan akademi bagi sukan permotoran itu jika Litar Pasir Gudang siap sepenuhnya.
-- BERNAMA