Fasa pertama Lebuh Raya Pan Borneo dijangka siap 2023 - Fadillah

Fareez Azman
November 18, 2020 20:07 MYT
Perkembangan pembinaan lebuh raya itu di kawasan Sarawak ketika ini pada tahap 53 peratus dan Sabah pada tahap 34 peratus. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Fasa pertama Projek Lebuh Raya Pan Borneo dijangka siap pada tahun 2023, kata Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, perkembangan pembinaan lebuh raya itu di kawasan Sarawak ketika ini pada tahap 53 peratus dan Sabah pada tahap 34 peratus.
"Untuk Sarawak 53 peratus, untuk Sabah 34 peratus siap... tetapi kita masih terlewat selepas rakan pelaksana projek (PDP) ditamatkan (semasa pentadbiran PH), sebab itu kita kena cari jalan cepatkan.
"Pada saya, buat masa ini anggarannya ada yang dapat siap tahun 2022, tetapi realistiknya pada tahun 2023 untuk siap keseluruhan.
"Itu untuk fasa pertama di Sarawak. Di Sabah mungkin lebih daripada itu, sebab Sabah baru berjalan 15 projek," katanya dalam wawancara bersama Menteri Kerja Raya pada Rabu.
Ujarnya ketika ini, fasa pertama di Sabah melibatkan 15 projek yang sedang berjalan manakala lima lagi projek dalam proses perolehan tender.
Sementara itu, beliau berkata sebahagian pekerja yang kehilangan pekerjaan apabila PDP ditamatkan ketika pentadbiran PH sebelum ini, akan diambil semula bekerja.
"Salah satu syarat untuk mengambil balik pekerja yang diberhentikan susulan PDP ditamatkan sebelum ini adalah mereka ada pengalaman dalam projek Pan Borneo.
"Sebahagian daripada mereka akan diambil kerja semula oleh Project Management Company (PMC). Perkara itu dalam perbincangan, kalau dapat diambil semua lebih baik tetapi itu sudah tentu akan dikira oleh PMC" katanya.
Jelasnya, peruntukan diberikan setiap tahun oleh kerajaan Persekutuan adalah RM1 bilion masing-masing bagi Negeri Sarawak dan Sabah untuk projek itu.
#Fadillah Yusof #kerajaan #Menteri Kanan Kerja Raya #Projek Lebuh Raya Pan Borneo #Sarawak #Sabah #Belanjawan 2021 #projek #rakyat
;