Fasa peralihan monsun bermula Selasa ini - MetMalaysia

Bernama
Mac 16, 2019 13:27 MYT
Malaysia dijangka memasuki fasa peralihan monsun mulai Selasa (19 Mac) ini. - Gambar hiasan
Malaysia dijangka memasuki fasa peralihan monsun mulai Selasa (19 Mac) ini, yang lazimnya akan berlaku ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang singkat.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan pada Jumaat berkata keadaan cuaca itu juga berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh.
"Semasa fasa peralihan monsun, keadaan cuaca itu biasanya berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, fasa peralihan monsun itu dijangka berterusan hingga pertengahan Mei.
"Permulaan fasa peralihan monsun itu menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang telah bermula sejak 27 Okt lepas.
"Dalam tempoh ini, kawasan serantau negara menerima tiupan angin dari pelbagai hala dengankelajuan yang lemah iaitu sesuai untuk pembentukan awan ribut petir," kata kenyataan itu.
Orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada ketika tempoh fasa peralihan monsun serta sentiasapeka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh jabatan itu menerusi laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial.
#angin kencang #fasa peralihan monsun #Jabatan Meteorologi Malaysia #monsun timur laut #ribut petir berserta hujan lebat
;