Fasa peralihan ke endemik: Rakyat diharap terus amalkan norma baharu - Muhyiddin

Faris Danial Razi
Mac 8, 2022 23:38 MYT
Muhyiddin menegaskan, dengan fasa peralihan ke endemik COVID-19, rakyat diharapkan agar terus mengamalkan norma baharu dan cekal bagi memastikan diri dan keluarga sentiasa terlindung. - Bernama
KUALA LUMPUR: Semua pihak yang ingin menggunakan kemudahan pembukaan semula sempadan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, dengan fasa peralihan ke endemik COVID-19, rakyat diharapkan agar terus mengamalkan norma baharu dan cekal bagi memastikan diri dan keluarga sentiasa terlindung.
Lantaran itu, beliau menggesa orang ramai untuk mengambil dos penggalak COVID-19 secepat mungkin agar terlindung daripada kesan-kesan serius virus berkenaan.
“Sememangnya, pengumuman hari ini merupakan satu langkah positif dalam proses pemulihan negara terutamanya bagi sektor-sektor yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 seperti industri pelancongan dan perdagangan.
“Marilah kita bersama-sama menggunakan momentum pembukaan sempadan ini untuk terus menggembleng tenaga dalam usaha-usaha pemulihan negara. Saya berdoa agar Malaysia terus pulih dan terus dilindungi Allah SWT,” jelas Muhyiddin dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA: COVID-19: Malaysia memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula 1 April 2022 - PM
BACA: Sempadan negara dibuka sepenuhnya 1 April ini - Perdana Menteri
Muhyiddin juga berharap SOP yang ditetapkan oleh kerajaan terutamanya di pintu sempadan darat dan air seperti di pintu sempadan Johor-Singapura tidak membebankan dan senang difahami orang ramai.
Katanya lagi, dengan pembukaan semula sempadan negara ini, Malaysia akan terus berada pada landasan yang tepat untuk pemulihan ekonomi negara yang diunjurkan untuk berkembang antara 5.5- 6.5 peratus untuk 2022.
#Muhyiddin Yassin #COVID-19 #pandemik #ekonomi #SOP
;