Fasa Peralihan ke Endemik: Lebih ramai ikuti aktiviti keagamaan di rumah ibadat
Bernama
April 3, 2022 18:00 MYT
April 3, 2022 18:00 MYT
KUALA LUMPUR: Fasa Peralihan ke Endemik yang dimasuki negara Jumaat lepas menyaksikan lebih ramai penganut agama bukan Islam memenuhi rumah ibadat masing-masing bagi mengikuti aktiviti keagamaan.
Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan mereka turut memanfaatkan kelonggaran yang dinikmati itu dengan mengeratkan lagi hubungan persaudaraan dan persabahatan menerusi majlis perkahwinan yang dianjurkan.
Di KUALA LUMPUR, tinjauan di kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Cave di sini mendapati penganut Hindu kembali melaksanakan upacara sembahyang secara biasa, malah kesempatan itu dimanfaatkan sebahagian besar penganutnya yang tidak dapat menyertai upacara perayaan Thaipusam pada Januari lepas.
Ketua sami Ravinatha Gurukkal ketika ditemui Bernama hari ini berkata penganut sangat gembira dapat sembahyang dan menunaikan nazar dengan membawa 'paal kodam', mencukur rambut atau menggendong bayi mereka sebagai 'kavadi memanjat' mendaki 272 anak tangga, iaitu amalan biasa yang dilakukan oleh penganut agama Hindu sebelum pandemik melanda dua tahun lepas.
Seorang wanita warga emas Kamachy Subramaniam, 70, berkata dia sangat gembira dapat kembali mengunjungi kuil seperti biasa tanpa perlu lagi penjarakan fizikal.
"Saya tidak dapat ke kuil ketika Thaipusam dan kini saya gembira mendapatkan restu daripada Dewa Murugan.
"Walaupun kita hampir kepada fasa endemik, tapi saya rasa adalah penting untuk kekal patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka, mendaftar masuk di aplikasi MySejahtera dan apa yang perlu untuk mencegah daripada COVID-19," katanya.
Di SELANGOR, selaras dengan Fasa Peralihan ke Endemik, Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam Midlands, Seksyen 7 Shah Alam telah mula membenarkan upacara perkahwinan dalam skala besar diadakan.
Setiausaha Agong kuil berkenaan, N. Sundramoorthy berkata pihak pengurusan kuil menerima sebanyak 13 tempahan upacara perkahwinan di rumah ibadat itu.
Beliau berkata bagi memastikan keselamatan pengunjung, mereka digalakkan mengamalkan penjarakan fizikal selain ruangan kawasan kuil turut akan kerap disanitasi.
Di PAHANG, pekerja swasta M. Rajagopal, 57, bersyukur kerana majlis perkahwinan anak perempuannya Sasirekha, 29, hari ini di Kuil Sri Maha Mariamman, Kuantan boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.
Beliau berkata sebagai bapa, dia amat berharap majlis perkahwinan anak keduanya itu bersama pasangan S.Jayaselvam, 30, berlangsung dalam suasana meriah dan menjadi kenangan terindah buat kedua mempelai.
"Kerana ini akan menjadi kenangan sepanjang hidup mereka dan saya amat gembira apabila kebenaran itu berkuat kuasa hanya tiga hari sebelum majlis berlangsung," katanya.
Di PERAK, Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman, Gunung Cheroh, Ipoh M.Vivekananda berkata meskipun penganut kini boleh melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan tanpa adanya penjarakan fizikal, namun SOP seperti pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman dan mendaftar masuk di aplikasi MySejahtera masih diperlukan.
Di PULAU PINANG, tinjauan mendapati rumah ibadat bukan Islam di negeri berkenaan masih mengguna pakai SOP penjarakan fizikal, walaupun negara sudah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik, pada Jumaat lepas.
Pengerusi Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam (Kuil Hilltop) Datuk R. Subramaniam berkata semua pengunjung di kuil masih mengamalkan SOP penjarakan fizikal ketika upacara sembahyang bagi menjaga keselamatan penganut yang hadir.
Sementara itu, tinjauan di gereja St George Anglican di Lebuh Farquhar dan gereja-gereja di sekitar George Town pula mendapati orang luar (bukan ahli gereja) tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam gereja selain difahamkan, aktiviti sembahyang di dalam gereja masih dilakukan dengan penjarakan fizikal.
Di MELAKA, pengunjung di gereja Chapel of Our Lady of The Immaculate Conception di Perkampungan Portugis, Augustine De Mello, 51, menyifatkan perkara berkenaan adalah khabar gembira namun menegaskan bahawa langkah berhati-hati perlu tetap diutamakan bagi membendung penularan COVID-19.
Di JOHOR, Paderi Gereja Immaculate Conception Johor Bahru Edward Rayappan berkata jumlah penganut agama Kristian yang dapat menyertai upacara sembahyang di gereja itu kembali bertambah termasuk dengan kehadiran kanak-kanak, susulan tiada lagi SOP penjarakan fizikal.
-- BERNAMA