Fasa Peralihan Endemik: WTCKL sambut baik keputusan kerajaan, industri BE dan MICE dijangka pulih
Fareez Azman
Mac 9, 2022 16:44 MYT
Mac 9, 2022 16:44 MYT
KUALA LUMPUR: Peralihan fasa pandemik ke endemik bermula 1 April depan sudah tentu melegakan ramai pihak apabila hampir semua sektor bakal beroperasi seperti biasa.
Bagi World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), keputusan kerajaan itu amat penting dalam mengaktifkan ekonomi negara dan menggalakkan pertumbuhan serantau.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, langkah itu juga dapat menghidupkan semula industri Acara Perniagaan dan Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) seperti pra-pandemik.
"WTCKL, dengan rangkaiannya yang luas, merupakan salah satu pemain industri utama dalam industri BE dan MICE. Industri ini akan berdiri bersatu dengan prosedur keselamatan yang ditetapkan, dan kami bersedia untuk mengalu-alukan perubahan progresif ini.
"Saya yakin strategi keluar ini akan membolehkan kita kembali kepada keadaan normal dan membawa kita ke tahap yang lebih tinggi," jelasnya dalam kenyataan media pada Rabu.
Mengulas lanjut jelasnya, meskipun keputusan kerajaan memansuhkan had bilangan kapasiti bagi aktiviti perkumpulan dan keramaian, sebaliknya WTCKL jelasnya akan terus berwaspada dan tidak berkompromi dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) agar orang ramai sentiasa terpelihara.
"Walaupun varian Omicron telah menyebabkan lonjakan kes COVID-19, akan tetapi dengan kadar vaksinasi kita yang tinggi, majoriti kes adalah dalam kategori satu atau dua, yang dianggap ringan.
"Dalam fasa peralihan ke endemik ini, tiada lagi had bilangan kapasiti dikenakan, 100 peratus kapasiti dibenarkan. Dengan ini, WTCKL akan terus berwaspada dan tidak berkompromi dalam melaksanakan SOP supaya orang ramai terpelihara semasa berada di premis kami. Penjarakan sosial adalah penting dan perlu digalakkan pada setiap masa," jelas beliau yang juga Pengerusi Persidangan dan Pameran (C&E) Majlis Anggota Penasihat (MAC) World Trade Centers Association (WTCA).
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media khas mengumumkan negara bakal memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April depan.
Beberapa ketetapan turut diumumkan, antaranya restoran boleh beroperasi 24 jam, tiada penjarakan fizikal bagi aktiviti beribadah di surau dan masjid namun tertakluk ketetapan Jabatan Agama Negeri serta had kapasiti 50 peratus aktiviti perkumpulan dimansuhkan.
#WTCKL
#Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim
#Peralihan Fasa Endemik
#Industri BE dan MICE
#perubahan
#ekonomi
#pertumbuhan serantau