Fasa peralihan endemik: SOP baharu rumah ibadat bukan Islam di Sabah berkuat kuasa Sabtu

Bernama
April 5, 2022 07:30 MYT
Masidi berkata, AJKP rumah ibadat bukan Islam wajib mempamerkan notis tentang perlunya membawa peralatan sembahyang sendiri dan melakukan kerja-kerja sanitasi 30 minit selepas selesai setiap sesi. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan terkini bagi rumah ibadat bukan Islam berkuat kuasa Sabtu ini (9 April), selaras dengan negara memasuki fasa peralihan ke endemik.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata SOP dan garis panduan baharu turut dikeluarkan bagi pengurusan pengebumian dan penghormatan terakhir di rumah ibadat bukan Islam serta rumah urus mayat.
Beliau berkata upacara sembahyang di rumah ibadat bukan Islam dibenarkan mulai 6 pagi hingga 10 malam, dengan kapasiti mengambil kira penjarakan fizikal satu meter dan hanya individu lengkap divaksin dibenarkan memasuki premis.
Menurut Masidi ahli jawatankuasa pengurusan (AJKP) rumah ibadat bukan Islam wajib mempamerkan notis tentang perlunya membawa peralatan sembahyang sendiri dan melakukan kerja-kerja sanitasi 30 minit selepas selesai setiap sesi sembahyang.
"Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun hanya dibenarkan hadir tertakluk kepada ibu bapa mereka (yang) lengkap divaksin," katanya yang juga jurucakap COVID-19 kerajaan negeri dalam kenyataan malam tadi.
Masidi berkata aktiviti keagamaan di rumah ibadat bukan Islam juga dibenarkan dan setiap individu harus mematuhi SOP ditetapkan, termasuk merekod kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera dan memakai pelitup muka bagi mengelak penularan COVID-19.
"AJKP perlu melakukan pembersihan ruang dan kawasan sekitar termasuk tandas, sebaik sahaja acara keagamaan selesai," katanya dan menambah aktiviti sosial seperti kenduri-kendara dan gotong-royong turut dibenarkan dengan penjarakan fizikal satu meter.
Selain itu, beliau berkata operasi pengurusan pengebumian dan penghormatan terakhir di rumah ibadat bukan Islam dan rumah urus mayat dibenarkan mulai 6 pagi hingga 10 malam, dengan jarak kedudukan ahli keluarga dan ahli jawatankuasa pengurusan di dalam dewan atau ruang ibadat disusun mengikut SOP.
"Aktiviti sembahyang di rumah pada sebelah malam adalah dibenarkan tertakluk kepada keluasan rumah kediaman atau rumah urus mayat bagi mereka yang lengkap divaksin.
"Proses penghormatan terakhir dibenarkan dan pelawat dikehendaki beratur mengikut giliran," katanya sambil menambah aktiviti sosial seperti makan dan minum dibenarkan, namun aktiviti judi sosial dan sabung ayam adalah dilarang.
Katanya, upacara melepaskan abu mayat dibenarkan dari 6 pagi hingga 6 petang dengan mematuhi SOP dan ahli keluarga perlu segera bersurai dalam keadaan tertib selepas upacara selesai.
Sementara itu, Masidi berkata sebanyak 198 kes positif baharu COVID-19 direkodkan di Sabah pada Selasa, menjadikan jumlah kumulatif 368,418 kes, manakala 211 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh 353,126 orang.
-- BERNAMA
#Sabah #Masidi Manjun #Peralihan ke Endemik #SOP rumah ibadat bukan Islam
;