Fasa peralihan endemik: Kelab malam kekal tidak dibenarkan beroperasi - Khairy
Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 9, 2022 16:16 MYT
Mac 9, 2022 16:16 MYT
KUALA LUMPUR: Tiada mana-mana kelab malam dibenarkan beroperasi atau menjalankan aktiviti sekalipun negara akan memasuki fasa peralihan endemik tidak lama lagi.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menegaskan, ia disebabkan faktor risiko jangkitan yang terlalu tinggi mampu terjadi sekiranya ia dibenarkan beroperasi.
“Jawapan saya, bermula 1 haribulan April hanya satu jenis premis sahaja yang akan berada di dalam senarai negatif yang masih lagi tidak boleh dibuka iaitu kelab malam. Ia kerana sifat yang ada oleh kelab malam itu.
“Kita telah pertimbangkan dengan segala risiko dan kelab malam merupakan premis yang berisiko tinggi sekalipun dalam fasa peralihan ke endemik,” jelasnya pada sidang media di Parlimen hari ini .
Maka dengan itu jelasnya, kelab malam akan terus kekal berada dalam senarai tersebut dan tidak akan dibenarkan beroperasi walaupun selepas 1 April ini.