Fasa kedua projek naik taraf LTSIP dijangka selepas pada Jan 2025 - MOT
Bernama
Julai 17, 2024 10:30 MYT
Julai 17, 2024 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Fasa kedua projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu, Kelantan, dijangka selesai pada 26 Jan, 2025, kata Kementerian Pengangkutan (MOT).
Pada masa ini, projek berkenaan sedang giat dilaksanakan dengan fasa pertama yang melibatkan kerja-kerja pembinaan telah siap pada 30 April, 2024.
"Apabila projek tersebut siap sepenuhnya, terminal baharu LTSIP akan dapat menampung kapasiti sehingga empat juta penumpang setahun," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Selasa.
Kenyataan MOT itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai status terkini LTSIP.
Menjelaskan selanjutnya, MOT berkata selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Mei, 2024, kementerian sedang meneliti skop teknikal dan anggaran kos bagi melaksanakan usaha pemanjangan landasan di LTSIP dengan tambahan 400 meter, menjadikan keseluruhan landasan sepanjang 2,800 meter.
Langkah itu membolehkan LTSIP menampung sepenuhnya operasi pesawat dengan Kod 3C seperti Boeing 737-Max dan Airbus 321 Neo dengan jarak perjalanan sehingga lima jam.
Menurut MOT, projek itu dijangka memakan masa selama 18 bulan untuk disiapkan.
"Pelaksanaan projek naik taraf serta pemanjangan landasan ini akan memberi keselesaan kepada penumpang serta membolehkan LTSIP mengendalikan operasi penerbangan antarabangsa seperti Lapangan Terbang Kuantan dan Ipoh yang mempunyai penerbangan ke Singapura," katanya.
-- BERNAMA